SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 7/6/2012

Kongsi

SEKIRANYA TERDAPAT KEGIATAN SASTERA YANG BAKAL BERLANGSUNG DI TEMPAT SAUDARA, BOLEHLAH BERKONGSI MAKLUMAT DENGAN BLOG INI. HANTAR MAKLUMAT MELALUI E-MEL: saimimsalleh@gmail.com . TERIMA KASIH.

Sekitar SASTERA SEMASA

SAYEMBARA MENDEKLAMASI SAJAK BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU:

Tarikh: 6 Oktober 2012 (Sabtu)
Masa : Mulai 8.00 pagi (Saringan)
Tempat: Perpustakaan Awam Terengganu

Kategori: Terbuka, Pelajar Sekolah Rendah, dan Pelajar Sekolah Menengah.

Pertandingan akhir akan diadakan pada pukul 9.00 malam.

4 Jun 2009

PUISI DALAM MINGGUAN MALAYSIA



AKHBAR Mingguan Malaysia saya baca semenjak di bangku sekolah lagi. 20 buah puisi moden disiarkan dalam akhbar besar terbitan Utusan Melayu (M) Berhad itu, bermula dengan “Siput-siput dan Lumut-lumut” (28 Februari 1982), dan yang terakhir sehingga catatan ini ditulis, “Panas Kemarau” (24 Julai 2005).
.
Tiga buah sajak terawal saya tulis dan disiarkan semasa saya masih menganggur selepas menduduki Higher School Certificate (Sijil Persekolahan Tinggi) di Sekolah Menengah Hamzah, Machang. Pada masa itu saya tidak berminat untuk menjadi guru, lalu tidak memohon untuk memasuki maktab perguruan, walaupun rakan lain sibuk berbuat demikian. Saya hanya mencari sedikit wang belanja dengan bekerja sebagai kuli bahagian simen membina Balai Bomba Machang.

1.
SIPUT-SIPUT DAN LUMUT-LUMUT
.
Siput-siput
bergantungan di batu
bergantungan di kayu
lumut-lumut
berumah tangga di batu
berumah tangga di kayu
di rerumputan
di air tenang
sejak bermusim-musim
sekian lamanya.
.
Dapatkah kita kalau
bagai siput-siput
dan lumut-lumut
beranak pinak
bercucu cicit
tanpa rumah besar
tiada motokar menjalar
tapi riang
tak pernah merungut.
.
Siput-siput
dan lumut-lumut
satu hidup yang ringkas
siput-siput dan lumut-lumut
senyap dan diam
tapi tak terjumpa
secebis sengketa.

.
Mingguan Malaysia,
28 Februari 1982

2.
WAKTU HUJAN BERHENTI
.
Selepas hujan berhenti
Ada pelangi emas
Di kepala rumahku.
.
Aku tidak tahu
apakah utusan dibawa
pelangi cantik itu
melengkung bulat bersih.
.
Apabila ia hilang
aku masih terbayang
warna-warnya
yang enggan pergi
dari ingatan.
.
Aku semakin tidak upaya
mentafsir semua itu
dan aku hanya
memendamkan persoalan
sendirian dan menunggu
apakah keputusannya.

.
Mingguan Malaysia,
17 April 1983


3.
LAMPU DAN TAMAN
.
Malam ke tengah belukarnya
ditiduri hening
meriah tadi berangkat
ke medan mimpi
lampu
menggigil sendiri
dan taman
dibekukan embun.

.
Mingguan Malaysia,
18 September 1983

.
Tujuh buah sajak berikutnya saya tulis dan disiarkan semasa saya sudah berada di Maktab Perguruan Bahasa (kemudiannya dinamai Institut Bahasa), Kuala Lumpur, mulai awal 1984. Saya memohon untuk memasuki maktab perguruan setelah emak saya mendesak saya berbuat demikian setelah permohonan mendapatkan kerja lain selalu gagal. Saya menjalani kursus asas keguruan dalam bidang Pengajian Melayu dan Sejarah sehingga akhir tahun 2006. Di Institut Bahasa, terdapat rakan yang turut aktif menghasilkan tulisan kreatif, iaitu M. Amin Sidek dan Ibrahim Talib, kedua-duanya dari Johor.

4.
HUJAN DAN RIBUT
.
Hujan makin kasar
menimpa
aku kekuyupan
di padang hidup.
.
Ribut makin keras
menerjah
dan aku kehilangan rentak
di tanah beralun.
.
Hujan dan ribut bersatu
menggoncang
halaman diri
menjadikan aku semakin
tercari-cari
arah hakiki kehidupan
tetapi demikian berani
mengejarnya
di dalam payah dan
cabaran yang menunda-
nunda.

.
Mingguan Malaysia,
28 Oktober 1984


5.
LAMPU DAN TAMAN (ii)
.
Kelkatu bermain lampu
satu demi satu
gugur sayap-sayap
terhempas tubuh-tubuh
menimpa rumput-rumput basah
di taman.
.
Pengunjung menyemai mesra
memenuhi taman
di bawah hitam bayang
dan berarak keluar
membawa daging noda.
.
Lampu dan taman
mencatat satu persatu
bukti sandiwara.

.
Mingguan Malaysia,
13 Januari 1985


6.
LAMPU DAN TAMAN (iii)
.
Pepohon menggugurkan daun-daun
liuk-lintuk telah tiada
ranting-ranting kontang.
.
Lampu tidak bercahaya
malam amat sepi dan ngeri.
.
Taman bukan lagi taman
catatan pengunjung mula berakhir.
.
Lampu dan taman ini
tidak terlalu lama nanti
menjadi tapak memacak
rangka-rangka besi
kotak-kotak batu.

.
Mingguan Malaysia,
19 Mei 1985


7.
PULANG SESEKALI
.
Pulang sesekali
berubah warna
bertukar rasa
warga desa menyambut senyum
bertanya bila sampai
dan membuka pintu rumah.
.
Pulang sesekali
terlupa deru kota
kasih keluarga demikian dekat
mata kekasih kian berseri
debar dada bertambah erti.
.
Pulang sesekali
sembuh luka lama
padam benci purba
diri diberi harga.

.
Mingguan Malaysia,
27 Oktober 1985


8.
HUJAN DAN RIBUT (ii)
.
Hujan menyimbah terus
ke dalam diri
melemaskan dengan persoalan
satu, satu
tidak mati-mati
meski hujan alam
sebenarnya telah kekeringan titis.
.
Ribut menerpa juga
ke lubuk perasaan
menghoyong bersama kekhuatiran
menyulitkan penapakan
walau ribut di luar
sebetulnya sudah kehabisan angin.
.
Hujan dan ribut dalaman
rupanya terlalu parah
lebih dari
segala-galanya di luar diri.

.
Mingguan Malaysia,
19 Januari 1986


9.
MALAM MERAJUK
.
Sampainya seperti selalu
meruangkan nikmat
meski seketika
terhalau juga mimpinya
setiap berlabuh
jalan tidak berhenti digilis
sunyi bersembunyi:
ketawa-ketawa girang, yang tidak
pasti makna
menerobos tingkap hingga
bangun matahari.
.
Ia hairan termanggu
mengapa hadirnya
sebegitu bakti
tidak terisi
rehat yang sungguh nyenyak:
kalau bukan kerana alam
bertugas begitu
ia tidak ingin datang kembali
bermula esok.

.
Mingguan Malaysia,
27 Julai 1986


10.
DARI LORONG INI
.
Di atas lorong yang dahulu adalah
gelanggang lalu hari dan
bisa pejam melangkah
masa ini sudah tidak pasti
langkah terhias beberapa sangsi
berbagai kelainan ini
telah membezakan asalnya.
.
Rumah-rumah bangun dengan tembok
tegak sebelah-menyebelah
menyempadankan pandangan
sentuhan mesra gugur antara hati
hamparan laman bercorak-corak
menaburkan nafsi-nafsi setebalnya.
.
Dari lorong ini
tersaksi sesungguhnya
ghairah keasingan
tertebar.

.
Mingguan Malaysia,
7 Disember 1986


.
Mulai awal 1987, saya berkhidmat di Sekolah Menengah Jengka 10, Bandar Pusat Jengka, Pahang. Saya keseorangan dalam dunia penulisan di sini, tetapi rakan setugas dan orang setempat yang mengetahui hal dunia kreatif saya turut memberi rangsangan. Lima buah puisi sempat disiarkan dalam Mingguan Malaysia.

11.
PERCAKAPAN BULAN KETIKA MELINTASI KOTA
.
Malam mewarnakan waktu
dengan seluruh cat hitam
lalu aku tampil
menumpahkan cahaya perak
tetapi di bumbung kota ini
tak sampai
ke puncak pohon-pohon kayu dan batu.
.
Begitulah aku disingkir
di kota begini
mengambil kuasa adalah
neon yang bercorak-corak warna.
.
Seharusnyakah aku merajuk
atau memohon dibersarakan
tetapi ini tugas yang abadi
dan akulah satu-satunya
aku mesti melintas
meski dengan pucat
pada ketika yang
telah diarahkan.

.
Mingguan Malaysia,
10 Mei 1987


12.
BAHAWA IA TETAP DATANG
.
Bahawa dia tetap datang
kita tidak sepatutnya
bersusah menilik waktunya
hanya bersedia
setahap mampu
dan terimalah.
.
Menunggu tidak lain
lebih menggusarkan
kita seperti kehilangan sempurna
atau mungkin pula meluruhkan
beberapa keyakinan yang telah
sekian dipegang.
.
Takutinya
agar lebih bersedia
bahawa ia tetap datang
adalah kematian itu
sesaat lagi
telah siap disurat-Nya.

.
Mingguan Malaysia,
16 Ogos 1987


13.
MELANGKAH KEMUNGKINAN
.
Sebelum melangkah
sandarkan kemungkinan
ia akan ditemui
apakah coraknya
rumit untuk dipastikan.
.
Sebelum melangkah
tentukan rangka menyelesaikan
begini kalau ini
begitu jika itu.
.
Setelah melangkah
kemungkinan pun bermula
kita pun merelakan
seberapa sanggup.

.
Mingguan Malaysia,
31 Julai 1988


14.
MELANGKAH KEMUNGKINAN (ii)
.
Masih hari pagi
cepat pula akan tengah hari
setelah petang
segala hampir terlewat
ketika malam
terpaksa meredah kelam
tanpa janji sempurna.
.
Esok siapakah yang
dapat menjangka
warna kemungkinannya
namun gagasan kehidupan
mendesak melangkah seterusnya
keberjayaan itu adalah mesti.
.
Awal pagi ini
melangkah kita
sepenuh berani.

.
Mingguan Malaysia,
2 April 1989


15.
TIGA CATATAN DI TERENGGANU
.
1.
Dungun:
sekuntum puteri di halaman
Jalan Bunga Raya
terpilih menenangkan
resah kamarku
mengharumkan sejauh hayat
menjadi titi emas
dua daerah.
.
2.
Rantau Abang:
angin laut yang semakin hilang
penyu sudah terlupa
jeti yang paling digemarinya
pohon-pohon tetap kecil
dalam usia tua
di pasir kedekut kesuburan.
.
3.
Kuala Terengganu:
telah bangkit
menjadi kota berbagai
hujan yang setia menguyupkan
di dalamnya budaya semakin terbakar
dibiarkankah demikian?

.
Mingguan Malaysia,
11 Jun 1989


.
Mulai 1993 saya meninggalkan Jengka 10, Pahang untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama melalui Program Kembar Institut Bahasa-Universiti Malaya. Saya antara pelajar perintis program tersebut. Mulai 1994 saya memasuki program ijazah Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya.

16.
KEINGINAN
.
Aku mahu mendiami waktu hayat
Al-Kinda dan Ibn Sina
barangkali tingkap minda muslimku
terang menangkap filsafat.
.
Aku ingin menyelongkar di sebalik mereka
melarik acuan mengukir puncak peradaban
menawan minat dunia
menimba resipi keagungan
yang kemudian mengafankannya.
.
Aku ingin sekali kembali membuka
pintu zaman keajaiban itu
yang ditimbus gua gelap
melingkungi nafas lesu muslimin mutakhir.
.
Aku mahu kita
utuh semula di garis tinggi
dengan petunjuk silam
seranum dunia lain yang semakin
meninggalkan.
.
Keinginan itu perlu dengan peta ilmu
aku sedang lekas mengumpulnya
satu, satu!
.
Mingguan Malaysia,
18 September 1994


17.
DESA DAN KOTA
.
Benarkah nafsi-nafsi berani berumah
cuma di kota
kotaknya mendidik mungkar
cambah menjadi citra peribadi
sketsa sendiri yang tidak terbantah.
.
Betulkah tanpa pagar pemisah pandang
desa masih akrab menyatukan warga
adab tidak diusik musim
lalu maksiat terus segan
mengacip taring bisanya.
.
Khabar jenuh tersebar
sapa mesra di desa tidak terjawab
undangan tidak terisi
dighairahi tembok adicita siasah
anak-anak muda menadah kebebasan
mencium rakus dosa dari teknologi
khabar itu ciri kota yang pasti.

.
Mingguan Malaysia,
19 Mei 1996


.
Pada 1 April 1998 saya melapor diri untuk mula bertugas di SMK Sultan Omar, Dungun. Di daerah ini, saya masih berkarya tetapi kurang aktif.

18.
PESAN KEPADA ANAK
.
Menduduki laman sarjana
nisbi engkau maha tinggi
alias maha tahu
rumput, tanah, kayu, batu
keras di puncak itu
cabang keliru berselirat
semakin panjang yang kau
tahu sekerat;
bacalah dengan firasat.
.
Belajarlah untuk tidak menjabat
derhaka
dengan hati lestari
menyimpan jasa yang pernah
memberi meski sekuman budi;
ayah yakin engkau bukan kacang.
.
Berhati-hati mempercayai dakwaan
janji bukan kota teguh
di dada palsu
engkau didewasakan bukan untuk
mengakarkan kemusnahan
tetapi membiakkan kemurnian.
.
Ayah tahu engkau
anak yang baik
kenal asal
tahu makna.

.
Mingguan Malaysia,
6 Februari 2000


19.
SALAM
.
Salam kepada damai
teruslah bermastautin di tanah kami
menggertak setiap sumber sengsara
daripada angkara sang hati kelabu
juga tangan nakal luar negara.
.
Salam kepada kawan
biarlah tidak tega berdendam
meski dibahangi nyalaan pertentangan
ideologi politik semasa
sering menghalalkan cara.
.
Salam kepada musuh
minta dipadamkan pangkal amarah
tidak bermusuh semata-mata
kerana bergelar musuh
sengaja melumpurkan sungai sejahtera.
.
Salam kepada 2002
bacalah selengkapnya inti sejarah
dan makna hijrah putih
tahun ini tegakkan isi sejarah lain
yang lebih bermakna.

.
Mingguan Malaysia,
13 Januari 2002


20.
PANAS KEMARAU
.
Kemarau membaling
bergelung-gelung pusar api
ke parit, longkang, sungai,
kolam, paya, tasik, danau
air disumpah menjadi tanah
kontang
mata angin ditusuk debu.
.
Panas menakik iman
berbahang bara amarah
terbakar pertimbangan,
simpati, kasih, kemanusiaan,
kelembutan
hati membenih serapah syaitan
gurau tercambahkan telingkah
benci terlepas hingga sanggup
tangan berlumpur darah.
.
Langit ditutupi mentari
pokok hujan mati
sesekali turun titis kecil
singkat
jauh di dasar bekas
dikumpul bagai emas.
.
Sang kemarau
menggelimpangkan bangkai
berpasang-pasang telapak
tangan dibuka
Tuhan galak didekati
setelah jauh.

.
Mingguan Malaysia,
24 Julai 2005


.
Selepas sajak ke-20 itu disiarkan, bukan saya tidak terus mengirim sajak kepada Mingguan Malaysia, tetapi karya saya tidak mendapat tempat. Wallahuaklam.
.

Tiada ulasan:

Carian