KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

24 Jun 2009

ASAM GARAM HENDAK MENJADI PENULIS



PADA pendapat saya, untuk menjadi penulis, tidak mudah tetapi tidaklah sukar. Tidak mudah bermaksud banyak cabaran yang perlu ditempuhi, manakala tidak sukar bermaksud apabila kita mempunyai usaha yang gigih kita pasti akan berjaya dalam cita-cita kita itu.
.
Seperti yang telah saya catatkan sebelum ini, pada awalnya saya menulis karya pada kertas buku latihan sekolah dan diikuti pada kertas kajang dengan tulisan tangan. Satu tabiat saya ialah apabila terjadi kesilapan binaan frasa dan klausa, atau ada tambahan yang wajar saya masukkan serta-merta, saya akan menulis halaman itu semula. Oleh itu, untuk menyiapkan sesebuah karya, saya sering menulisnya berkali-kali. Saya tidak gemar memotong bahagian yang silap dengan garisan atau menggunakan cecair pemadam dengan banyaknya kerana hal itu akan menyebabkan karya itu tidak kemas. Bayangkanlah pada mulanya saya menulis karya pada kedua-dua halaman, apabila tersilap pada halaman belakangnya, saya terpaksa menulisnya semula pada kertas lain. Dalam keadaan berhati-hati, kesilapan masih sering berlaku. Kemudiannya, saya menulis pada satu halaman sahaja bagi setiap helai, yang membolehkan saya menjimatkan masa, tenaga, kertas, dan dakwat pena mata bulat.
.
Setelah saya memperoleh mesin taip “Brother” yang dihadiahi oleh emak saya, masalah yang sama masih terjadi. Ketika mengetuk huruf mesin taip, sering terjadi kesilapan huruf berulang, tertinggal huruf, atau susunan huruf menjadi terbalik akibat tersilap giliran mengetuk huruf. Untuk membetulkannya, saya terpaksa menggunakan cecair pemadam. Saya tidak boleh terus mengetuk huruf baharu pada bahagian yang salah kerana cecair pemadam yang mengambil sedikit masa untuk kering akan menyebabkan huruf itu tidak jelas atau tidak berbekas langsung. Oleh itu, saya terpaksa sabar, dengan menunggu bahagian yang dicalit dengan cecair itu kering terlebih dahulu. Untuk mempercepat keringnya, saya terpaksa meniupnya berulang kali. Kalau kesilapannya agak banyak, selalunya saya mengeluarkan kertas itu dan menaipnya semula pada kertas lain. Seringnya, ketika membuat pembetulan itu, terjadi pula kesilapan lain, atau kesilapan pada bahagian yang cuba dibetulkan.
.
Sebelum menaip karya, saya terlebih dahulu menulisnya pada kertas. Ketika menaipnya, saya kerap membuat pembetulan atau tambahan, bergantung kepada keperluan dan kemunculan idea baharu secara spontan. Saya menggunakan mesin taip pada waktu siang atau awal malam sahaja. Hal ini demikian kerana saya tidak mahu ketukan mesin taip yang kedengaran sangat lantang pada waktu malam akan mengganggu emak dan ayah saya yang mahu tidur. Oleh itu, saya akan membuat catatan atau menulis rangka karya pada waktu malam, seringnya sehingga tengah malam dengan dibantu oleh cahaya pelita minyak tanah. Oleh sebab di rumah saya tiada kerusi dan meja, saya duduk bersila seperti sedang membaca al-Quran dan meletakkan mesin taip di atas bantal supaya lebih tinggi. Acap kali juga jari saya sakit kerana terpelosok ke celahan butang huruf ketika rancak menaip. Walau bagaimanapun, saya dapat menaip dengan laju menggunakan sepuluh jari. Kemahiran ini saya miliki dalam masa tidak sampai setahun saya menggunakan mesin taip kerana saya membiasakan diri mengetuk huruf mengikut fungsi jari yang sebenar.
.
Mesin taip hadiah daripada emak saya itu saya gunakan dengan maksimum. Mesin taip itu rosak semasa saya hampir menamatkan kursus perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Mesin taip itu kemudiannya tidak dapat dibaiki lagi kerana sudah teruk. Amat terkilan saya untuk membuang mesin taip yang sangat berjasa kepada saya itu, tambahan pula pemberian emak. Saya membeli sebuah mesin taip lain ketika saya berkhidmat di Jengka 10, Pahang, tetapi tidak sehebat yang sebelumnya. Ketika saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, saya masih menggunakan mesin taip itu. Saya pernah menggunakan komputer jenama Apple milik sekolah tempat saya bertugas, tetapi mula menggunakan komputer sendiri pada tahun 1997. Saya membeli komputer Windows 95 di sebuah kedai komputer di Bangsar Baru yang memberikan tawaran harga murah. Dengan komputer itu saya menyiapkan sebuah novel pendek untuk menyempurnakan kerja kursus bagi kertas Penulisan Novel. Novel yang saya berikan judul “Jeriah” itu diberi markah A+ oleh S. Othman Kelantan.
.
Bayaran untuk karya yang disiarkan pada zaman dahulu tidak tinggi. Sebuah cerpen dalam Utusan Pelajar dan siaran radio RTM lazimnya dibayar $20.00 hingga $25.00 sahaja, manakala sajak lazimnya $10.00. Bayaran dibuat dengan cek. Pada mulanya saya mendepositkan cek itu ke dalam akaun Skim Simpanan Pejabat Pos. Untuk mendapatkan wang tunai, saya terpaksa menunggu dua atau tiga minggu. Kemudiannya, kerani Pejabat Pos Temangan, Mohd Yusof Daud, yang saya panggil Pak Soh sahaja, terus membayar wang tunai kepada saya. Hal ini memudahkan saya mendapatkan wang tunai untuk perbelanjaan membeli kertas taip, reben mesin taip, cecair pemadam, sampul surat, dan setem.
.
Semasa di bangku persekolahan, saya tidak aktif mengikuti aktiviti penulisan yang dianjurkan oleh persatuan penulis, khususnya di Kelantan. Selepas menamatkan pelajaran tingkatan enam, sambil menunggu keputusan peperiksaan dan menanti lamaran pekerjaan diterima, saya mengambil kesempatan mengikuti bengkel dan perjumpaan anjuran persatuan penulis. Pada mulanya saya menyertai Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK), dan kemudiannya Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Ketika saya aktif dalam PPK, ketuanya ialah Encik Muda bin Abdul Rahman, pegawai Lembaga Perancang Keluarga Kelantan. Kami selalu berbengkel di bangunan jabatan itu di Kota Bharu pada hujung minggu. Untuk menyertai bengkel atau perjumpaan karya ini, cabaran besar terpaksa saya hadapi. Saya akan menunggang basikal ke pekan Temangan, dan menaiki teksi (bukan beca) ke bandar Machang. Dari bandar Machang saya sering menaiki bas cepat Kuala Krai-Kota Bharu atau Machang-Kota Bharu. Waktu pergi tidak menimbulkan banyak masalah. Namun, ketika pulang, kadang-kadang majlis habis lewat petang sekiranya program dibuat mulai tengah hari atau awal petang. Sekiranya tidak sempat menaiki bas cepat ke Machang di Stesen Bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Kota Bharu, saya terpaksa menaiki teksi. Tambang teksi sekali ganda lebih mahal daripada tambang bas cepat. Lazimnya, apabila sampai di Machang ketika hampir Maghrib, perkhidmatan teksi atau kereta sapu ke Temangan telah berakhir. Saya harus pulang ke rumah pada malam itu juga. Ada drebar teksi yang sanggup menghantar saya ke pekan Temangan, tetapi dengan bayaran sebuah teksi pergi dan balik. Sudah tentu saya menolaknya kerana saya tidak mampu membayarnya. Oleh itu, saya merayau di kedai makan yang terletak tidak jauh dari stesen teksi dan bas Machang, mencari teksi yang pemandunya tinggal di Temangan tetapi masih belum pulang. Dalam hal begini, saya selalu bernasib baik. Saya dapat pulang ke pekan Temangan dengan selamat walaupun agak lewat. Kadang-kadang saya untung kerana ada drebar teksi yang mengenali saya enggan mengambil tambang dengan alasan kebetulan dia juga ingin pulang. Dari pekan Temangan, saya akan berbasikal meredah gelap malam melalui pinggir bukit dan sungai yang sunyi, ditambah dengan jalan tanah yang lekak-lekuk di sana dan di sini. Sering juga saya tidak menunggang basikal ke Temangan. Ketika pulang, Abang Ariffin, kawan bapa saudara saya, yang membuka kedai makan di pekan itu menghantar saya ke rumah. Kadang-kadang, rakan sesekolah saya semasa di sekolah rendah, Wan Zakaria bin Wan Deraman (lebih dikenali sebagai Mad Di) dan Ahmad Kamal bin Salleh (lebih dikenali sebagai Halim) tidak lokek untuk menghantar saya pulang. Yang menyenangkan hati saya, emak dan ayah saya tidak pernah memarahi saya kerana terlambat begitu. Mereka memahami saya dan percaya bahawa saya tidak menyeleweng daripada kegiatan penulisan saya ke mana-mana sahaja saya pergi.
-
Satu hal yang sangat ingin saya laksanakan pada masa saya aktif berkarya adalah untuk menerbitkan antologi cerpen persendirian. Oleh itu, apabila ada pihak yang menawarkan diri untuk menyerahkan cerpen kanak-kanak saya kepada penerbitan, saya menerimanya dengan senang hati. 24 buah cerpen kanak-kanak saya kirimkan kepada seorang penulis yang berasal dari Selangor dan mendapat pendidikan keguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Penulis itu menggunakan alamat di Selangor. Sebuah daripada cerpen itu tersiar dalam Utusan Pelajar dengan menggunakan namanya. Hal ini telah saya coretkan dalam catatan lalu, “Antologi: Belum Ada Antologi Perseorangan”. Hal ini juga saya coretkan dalam artikel pendek “24 Karya Lesap” (Utusan Zaman, ..... 1991).
-
Cabaran yang besar kepada penulis, lebih-lebih lagi saya, yang harus difahami ialah bahawa tidak semua karya yang kita fikir baik akan diterima oleh orang lain, khususnya editor ruangan sastera atau editor penerbitan. Telah saya catatkan dalam coretan “Novel: Genre Yang Gagal” bahawa manuskrip novel kanak-kanak saya, Siapakah Pencurinya lenyap begitu sahaja. Demikian juga manuskrip drama televisyen, yang sudah saya lupa judulnya, terperap dan berkubur di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Dalam coretan “Antologi: Belum Ada Antologi Perseorangan”, turut saya catatkan bahawa manuskrip kumpulan puisi yang saya judulkan sebagai Mengarah Waktu yang disemak oleh Dharmawijaya dan telah diperakukannya, hilang tanpa berita di Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak lagi cerpen dan puisi saya yang tidak diterima. Saya tidak pernah menghubungi semua pihak itu lagi. Hal ini sesuai dengan prinsip saya yang tidak suka merayu editor atau penyelenggara agar menyiarkan karya saya. Saya memang tidak pernah berbuat begitu, malahan saya tidak pernah menulis surat atau menelefon editor bertanya tentang karya yang saya kirimkan sudah sampai atau belum.
-
Itulah antara asam garam yang saya lalui untuk menjadi penulis dan untuk meneruskan kelangsungan sebagai penulis kecil. Saya mengakui bahawa asam garam itu terlalu sedikit berbanding dengan asam garam yang ditempuhi penulis lain yang sudah berjaya!

.

Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...