KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

26 Jun 2009

PANTUN: PUISI YANG RUMIT DICIPTA


PANTUN sangat unik. Hal ini demikian kerana pembinaan pantun perlu mematuhi beberapa formatnya. Rima akhir barisnya harus berselang: a-b-a-b., dan baris pertama dan kedua merupakan pembayang. Oleh itu, sekiranya terdapat pantun yang rima akhir barisnya sama, a-a-a-a, bentuk itu tidak dapat dianggap pantun. Rima sedemikian seolah-olah bentuk syair, tetapi tidak mematuhi format syair yang memerlukan setiap baris merupakan isi.
.
Dengan format sedemikian, pantun sukar dicipta. Saya hanya mencipta pantun apabila ingin digunakan untuk skrip tertentu atau diminta oleh pihak yang ingin menggunakannya. Apabila mencipta pantun, saya sangat mengambil kira tentang rima akhir barisnya agar mantap dan tepat. Misalnya, jika suku kata akhir perkataan terakhir dalam baris pertama ialah “du” pada perkataan “mengkudu”, maka suku kata akhir perkataan terakhir baris ketiga juga “du”, seperti pada perkataan “sepadu”. Saya tidak berpuas hati jika yang digunakan “lu”-“du” atau “su-mu” atau sebagainya. Walaupun begitu, sekiranya gagal menggunakan bunyi yang sama seratus peratus, terpaksalah saya berpuas hati dengan bunyi yang hampir sama. Suku kata akhir perkataan kedua atau kedua untuk baris pertama dan keempat juga seboleh-bolehnya saya usahakan supaya bunyinya sama, seperti “ku” pada perkataan “paku” digandingkan dengan “ku” juga pada perkataan “tuanku”. Namun, jika gagal berbuat demikian, barulah saya berpuas hati dengan “ku”-“su” atau “hu”-“gu”.

.
Pada bulan November 2007, saya menyertai Pertandingan Pantun yang bertemakan Penghayatan Rukun Negara anjuran Radio Klasik Nasional (RTM). Dua kumpulan pantun yang saya kirim melalui e-mel disiarkan dan terpilih ke peringkat penilaian akhir. Setiap kumpulan terdiri daripada dua rangkap pantun empat kerat. Akhirnya, saya antara lima orang pemenang yang dipanggil menerima hadiah di Angkasapuri. Namun, saya yang tidak dapat hadir mewakilkan adik saya yang tinggal di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Noraini, untuk menerimanya. Selain itu, saya tidak tahu pasangan pantun yang dipilih itu.

.
Penghayatan Rukun Negara (1)
.
Pucuk paku daun mengkudu,
Ulam kampung pembuka selera;
Paduka tuanku lambang sepadu,
Tempat berpayung warganegara.
.
Bertingkah gendang di pantai Melawi,
Tanda bermula musim menyemai;
Tegak undang-undang teguhlah pertiwi,
Peraturan dipersenda hanguslah damai.

.
Penghayatan Rukun Negara (2)
.
Ikan gelama penuh pedati,
Tarik pukat sepanjang petang;
Mematuhi agama sepenuh hati,
Jalan berkat luas terbentang.
.
Asam kandis asam gelugur,
Dijual budak di hujung kuala;
Tutur manis tatkala menegur,
Tingkah tidak meruntuh susila.

.
Saya pernah diminta agar mencipta beberapa rangkap pantun untuk digunakan dalam pengacaraan majlis persaraan Puan Hajah Faudziah Abd Latiff, Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan. Saya pun berusaha menyiapkannya, tetapi tidak digunakan kemudiannya.

.
I
.
Pengat pisang jamuan di pekan,
Makan berteman mari mulai;
Selamat datang tetamu diraikan,
Kesanggupan puan kami hargai.
.
Makan berteman mari mulai,
Makan bersama bagai sekeluarga;
Kesanggupan puan kami hargai,
Meluangkan masa sangat berharga.

.
II
.
Ikan kerisi si ikan bawal,
Masak pedas ikan gelama;
Puan permisi terlalu awal,
Belum puas kita bersama.
.
Bakar baulu menjelang petang,
Dibawa pulang anak menantu;
Gurauan lalu masih terngiang,
Takkan hilang dipacu waktu.
.
Pisau raut bertatah suasa,
Pecah mangkuk tergesel kuali;
Kalau diikut kehendak rasa,
Mahu dipujuk puan kembali.
.
Ayam berkokok berkali-kali,
Berkicau juga merbah jambul;
Meski dipujuk puan kembali,
Apatah daya takkan termakbul.

.
III
.
Buah kelapa kontang sebiji,
Waktu hujan menimpa papan;
Dengan sukacitanya dipersilakan Kak Ji,
Tampil ke depan menyampaikan ucapan.
.
Hendak membeli buah keranji,
Bawa bertih habis dimakan;
Demikian tadi rasa hati Kak Ji,
Terima kasih kami ucapkan.
.
Pohon bidara tanam di taman,
Tumbuh pula pohon rumbia;
Selamat bersara Kak Ji budiman,
Aman sejahtera sepanjang usia.
.
Orang muda menangkap kelah,
Kelah dibeli habis semua;
Sekiranya ada silap dan salah,
Harap kami dimaafi jua.
.
Buah nangka dilupa jangan,
Gulai kari dengan kelapa;
Sebagai tanda memanjangkan kenangan,
Terimalah cenderahati tidak seberapa.

.
Untuk majlis persaraan pengetua ke-20 SMK Sultan Omar, saya dikehendaki untuk menyediakan skrip bagi persembahan multimedia. Saya memasukkan tiga rangkap pantun pada awal persembahan dan dua rangkap pada akhir persembahan.

.
I
.
Kain batik ditenun cermat,
Sarat muatan bawa ke pasar;
Di Dungun terdidik di Dungun berkhidmat,
Anak tempatan berjati diri besar.
.
Sudah lazim pagi berkabut,
Cahaya bersemi keringkan tanah;
Penuh takrim tuan disambut,
Memimpin kami sempurnakan amanah.
.
Pohon kelapa hinggapnya camar,
Terbang mudik memburu ikan;
Ketua warga di Sultan Omar,
Cikgu Malik kita ceriterakan.

.
II
.
Terbang sekawan burung kenari,
Turun berempat di dahan berangan;
Budi tuan kukuh di sanubari,
Sejauh hayat jadi kenangan.
.
Tumbang punggur dahan pun sekah,
Terkejut burung sedang makan;
Tersalah tutur tersilap tingkah,
Ampun dan maaf kami dambakan.
.
Saya juga pernah mencipta pantun tentang keistimewaan negeri Terengganu.

.
Terengganu dan Tradisinya
.
Hari Sabtu sungguh meriah,
Riuhnya peniaga seawal pagi;
Negeri Terengganu bumi bertuah,
Kaya budaya bermutu tinggi.
.
Bawa ketupat ke Bukit Kor,
Inti kacang banyak bekalan;
Betapa lazat keropok lekor,
Nasi dagang tidak ketinggalan.
.
Tasik Permaisuri dihias cantik,
Jambangan bunga di atas titi;
Songket asli dan kain batik,
Tenunan sutera kekal diminati.
.
Dari Kemasik ke pekan Geliga,
Ikan bawal disiang cermat;
Halus berlarik seni tembaga,
Turut terkenal ukiran khat.
.
Langsat, sagu dan pelbagai bunga,
Pasar Paka tempat jualan;
Rodat dan lagu halwa telinga,
Segar mata menonton tarian.
.
Hantar umbut dengan kereta,
Pasar Payang habuan rezeki;
Congkak dan selambut pilihan wanita,
Gasing dan lelayang kesukaan lelaki.
.
Bot galah membawa timah,
Candat sotong di hujung tanjung;
Alamnya indah warga peramah,
Terpikat pelancong kembali berkunjung.
.

24 Jun 2009

ASAM GARAM HENDAK MENJADI PENULIS



PADA pendapat saya, untuk menjadi penulis, tidak mudah tetapi tidaklah sukar. Tidak mudah bermaksud banyak cabaran yang perlu ditempuhi, manakala tidak sukar bermaksud apabila kita mempunyai usaha yang gigih kita pasti akan berjaya dalam cita-cita kita itu.
.
Seperti yang telah saya catatkan sebelum ini, pada awalnya saya menulis karya pada kertas buku latihan sekolah dan diikuti pada kertas kajang dengan tulisan tangan. Satu tabiat saya ialah apabila terjadi kesilapan binaan frasa dan klausa, atau ada tambahan yang wajar saya masukkan serta-merta, saya akan menulis halaman itu semula. Oleh itu, untuk menyiapkan sesebuah karya, saya sering menulisnya berkali-kali. Saya tidak gemar memotong bahagian yang silap dengan garisan atau menggunakan cecair pemadam dengan banyaknya kerana hal itu akan menyebabkan karya itu tidak kemas. Bayangkanlah pada mulanya saya menulis karya pada kedua-dua halaman, apabila tersilap pada halaman belakangnya, saya terpaksa menulisnya semula pada kertas lain. Dalam keadaan berhati-hati, kesilapan masih sering berlaku. Kemudiannya, saya menulis pada satu halaman sahaja bagi setiap helai, yang membolehkan saya menjimatkan masa, tenaga, kertas, dan dakwat pena mata bulat.
.
Setelah saya memperoleh mesin taip “Brother” yang dihadiahi oleh emak saya, masalah yang sama masih terjadi. Ketika mengetuk huruf mesin taip, sering terjadi kesilapan huruf berulang, tertinggal huruf, atau susunan huruf menjadi terbalik akibat tersilap giliran mengetuk huruf. Untuk membetulkannya, saya terpaksa menggunakan cecair pemadam. Saya tidak boleh terus mengetuk huruf baharu pada bahagian yang salah kerana cecair pemadam yang mengambil sedikit masa untuk kering akan menyebabkan huruf itu tidak jelas atau tidak berbekas langsung. Oleh itu, saya terpaksa sabar, dengan menunggu bahagian yang dicalit dengan cecair itu kering terlebih dahulu. Untuk mempercepat keringnya, saya terpaksa meniupnya berulang kali. Kalau kesilapannya agak banyak, selalunya saya mengeluarkan kertas itu dan menaipnya semula pada kertas lain. Seringnya, ketika membuat pembetulan itu, terjadi pula kesilapan lain, atau kesilapan pada bahagian yang cuba dibetulkan.
.
Sebelum menaip karya, saya terlebih dahulu menulisnya pada kertas. Ketika menaipnya, saya kerap membuat pembetulan atau tambahan, bergantung kepada keperluan dan kemunculan idea baharu secara spontan. Saya menggunakan mesin taip pada waktu siang atau awal malam sahaja. Hal ini demikian kerana saya tidak mahu ketukan mesin taip yang kedengaran sangat lantang pada waktu malam akan mengganggu emak dan ayah saya yang mahu tidur. Oleh itu, saya akan membuat catatan atau menulis rangka karya pada waktu malam, seringnya sehingga tengah malam dengan dibantu oleh cahaya pelita minyak tanah. Oleh sebab di rumah saya tiada kerusi dan meja, saya duduk bersila seperti sedang membaca al-Quran dan meletakkan mesin taip di atas bantal supaya lebih tinggi. Acap kali juga jari saya sakit kerana terpelosok ke celahan butang huruf ketika rancak menaip. Walau bagaimanapun, saya dapat menaip dengan laju menggunakan sepuluh jari. Kemahiran ini saya miliki dalam masa tidak sampai setahun saya menggunakan mesin taip kerana saya membiasakan diri mengetuk huruf mengikut fungsi jari yang sebenar.
.
Mesin taip hadiah daripada emak saya itu saya gunakan dengan maksimum. Mesin taip itu rosak semasa saya hampir menamatkan kursus perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Mesin taip itu kemudiannya tidak dapat dibaiki lagi kerana sudah teruk. Amat terkilan saya untuk membuang mesin taip yang sangat berjasa kepada saya itu, tambahan pula pemberian emak. Saya membeli sebuah mesin taip lain ketika saya berkhidmat di Jengka 10, Pahang, tetapi tidak sehebat yang sebelumnya. Ketika saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, saya masih menggunakan mesin taip itu. Saya pernah menggunakan komputer jenama Apple milik sekolah tempat saya bertugas, tetapi mula menggunakan komputer sendiri pada tahun 1997. Saya membeli komputer Windows 95 di sebuah kedai komputer di Bangsar Baru yang memberikan tawaran harga murah. Dengan komputer itu saya menyiapkan sebuah novel pendek untuk menyempurnakan kerja kursus bagi kertas Penulisan Novel. Novel yang saya berikan judul “Jeriah” itu diberi markah A+ oleh S. Othman Kelantan.
.
Bayaran untuk karya yang disiarkan pada zaman dahulu tidak tinggi. Sebuah cerpen dalam Utusan Pelajar dan siaran radio RTM lazimnya dibayar $20.00 hingga $25.00 sahaja, manakala sajak lazimnya $10.00. Bayaran dibuat dengan cek. Pada mulanya saya mendepositkan cek itu ke dalam akaun Skim Simpanan Pejabat Pos. Untuk mendapatkan wang tunai, saya terpaksa menunggu dua atau tiga minggu. Kemudiannya, kerani Pejabat Pos Temangan, Mohd Yusof Daud, yang saya panggil Pak Soh sahaja, terus membayar wang tunai kepada saya. Hal ini memudahkan saya mendapatkan wang tunai untuk perbelanjaan membeli kertas taip, reben mesin taip, cecair pemadam, sampul surat, dan setem.
.
Semasa di bangku persekolahan, saya tidak aktif mengikuti aktiviti penulisan yang dianjurkan oleh persatuan penulis, khususnya di Kelantan. Selepas menamatkan pelajaran tingkatan enam, sambil menunggu keputusan peperiksaan dan menanti lamaran pekerjaan diterima, saya mengambil kesempatan mengikuti bengkel dan perjumpaan anjuran persatuan penulis. Pada mulanya saya menyertai Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK), dan kemudiannya Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Ketika saya aktif dalam PPK, ketuanya ialah Encik Muda bin Abdul Rahman, pegawai Lembaga Perancang Keluarga Kelantan. Kami selalu berbengkel di bangunan jabatan itu di Kota Bharu pada hujung minggu. Untuk menyertai bengkel atau perjumpaan karya ini, cabaran besar terpaksa saya hadapi. Saya akan menunggang basikal ke pekan Temangan, dan menaiki teksi (bukan beca) ke bandar Machang. Dari bandar Machang saya sering menaiki bas cepat Kuala Krai-Kota Bharu atau Machang-Kota Bharu. Waktu pergi tidak menimbulkan banyak masalah. Namun, ketika pulang, kadang-kadang majlis habis lewat petang sekiranya program dibuat mulai tengah hari atau awal petang. Sekiranya tidak sempat menaiki bas cepat ke Machang di Stesen Bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Kota Bharu, saya terpaksa menaiki teksi. Tambang teksi sekali ganda lebih mahal daripada tambang bas cepat. Lazimnya, apabila sampai di Machang ketika hampir Maghrib, perkhidmatan teksi atau kereta sapu ke Temangan telah berakhir. Saya harus pulang ke rumah pada malam itu juga. Ada drebar teksi yang sanggup menghantar saya ke pekan Temangan, tetapi dengan bayaran sebuah teksi pergi dan balik. Sudah tentu saya menolaknya kerana saya tidak mampu membayarnya. Oleh itu, saya merayau di kedai makan yang terletak tidak jauh dari stesen teksi dan bas Machang, mencari teksi yang pemandunya tinggal di Temangan tetapi masih belum pulang. Dalam hal begini, saya selalu bernasib baik. Saya dapat pulang ke pekan Temangan dengan selamat walaupun agak lewat. Kadang-kadang saya untung kerana ada drebar teksi yang mengenali saya enggan mengambil tambang dengan alasan kebetulan dia juga ingin pulang. Dari pekan Temangan, saya akan berbasikal meredah gelap malam melalui pinggir bukit dan sungai yang sunyi, ditambah dengan jalan tanah yang lekak-lekuk di sana dan di sini. Sering juga saya tidak menunggang basikal ke Temangan. Ketika pulang, Abang Ariffin, kawan bapa saudara saya, yang membuka kedai makan di pekan itu menghantar saya ke rumah. Kadang-kadang, rakan sesekolah saya semasa di sekolah rendah, Wan Zakaria bin Wan Deraman (lebih dikenali sebagai Mad Di) dan Ahmad Kamal bin Salleh (lebih dikenali sebagai Halim) tidak lokek untuk menghantar saya pulang. Yang menyenangkan hati saya, emak dan ayah saya tidak pernah memarahi saya kerana terlambat begitu. Mereka memahami saya dan percaya bahawa saya tidak menyeleweng daripada kegiatan penulisan saya ke mana-mana sahaja saya pergi.
-
Satu hal yang sangat ingin saya laksanakan pada masa saya aktif berkarya adalah untuk menerbitkan antologi cerpen persendirian. Oleh itu, apabila ada pihak yang menawarkan diri untuk menyerahkan cerpen kanak-kanak saya kepada penerbitan, saya menerimanya dengan senang hati. 24 buah cerpen kanak-kanak saya kirimkan kepada seorang penulis yang berasal dari Selangor dan mendapat pendidikan keguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Penulis itu menggunakan alamat di Selangor. Sebuah daripada cerpen itu tersiar dalam Utusan Pelajar dengan menggunakan namanya. Hal ini telah saya coretkan dalam catatan lalu, “Antologi: Belum Ada Antologi Perseorangan”. Hal ini juga saya coretkan dalam artikel pendek “24 Karya Lesap” (Utusan Zaman, ..... 1991).
-
Cabaran yang besar kepada penulis, lebih-lebih lagi saya, yang harus difahami ialah bahawa tidak semua karya yang kita fikir baik akan diterima oleh orang lain, khususnya editor ruangan sastera atau editor penerbitan. Telah saya catatkan dalam coretan “Novel: Genre Yang Gagal” bahawa manuskrip novel kanak-kanak saya, Siapakah Pencurinya lenyap begitu sahaja. Demikian juga manuskrip drama televisyen, yang sudah saya lupa judulnya, terperap dan berkubur di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Dalam coretan “Antologi: Belum Ada Antologi Perseorangan”, turut saya catatkan bahawa manuskrip kumpulan puisi yang saya judulkan sebagai Mengarah Waktu yang disemak oleh Dharmawijaya dan telah diperakukannya, hilang tanpa berita di Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak lagi cerpen dan puisi saya yang tidak diterima. Saya tidak pernah menghubungi semua pihak itu lagi. Hal ini sesuai dengan prinsip saya yang tidak suka merayu editor atau penyelenggara agar menyiarkan karya saya. Saya memang tidak pernah berbuat begitu, malahan saya tidak pernah menulis surat atau menelefon editor bertanya tentang karya yang saya kirimkan sudah sampai atau belum.
-
Itulah antara asam garam yang saya lalui untuk menjadi penulis dan untuk meneruskan kelangsungan sebagai penulis kecil. Saya mengakui bahawa asam garam itu terlalu sedikit berbanding dengan asam garam yang ditempuhi penulis lain yang sudah berjaya!

.

23 Jun 2009

SAJAK-SAJAK LAIN SECARA ECERAN



SELAIN sajak yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, dan Utusan Zaman, terdapat beberapa buah sajak lain yang membuatkan saya berpuas hati dari aspek idea yang dikemukakan. Sajak-sajak itu disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah.

1.
TINGKAP KACA
.
Helai-helai daun
merempuh tingkap kaca
dan angin buas itu
mengelus masuk kamar
meraih sebahagian maluku.
.
Tiba-tiba
tingkap kaca terbuka
angin yang sekian lapar
menjilat seluruh perawan
aku menggelepar
namun tingkap kaca itu
tak upaya
ditutup kembali.

.
Telatah Olok-Olok,
Jun 1984


2.
SIAPAKAH YANG MERATAP
.
Malam tersepit
di keping-keping tingkap
siapakah yang tersepit
antara ketidakpastian.
Daun jatuh
di bawah lampu pucat
kehendak siapakah yang luruh
di dalam warna kuning
hilang hijaunya.
Dari celah tingkap itu
cahaya bulan berkocak
angin menderukan suasana
menjadi sekian kabur
daun yang gugur berselerak
kesakitan lalu semakin payah
punah lantas cukup parah.
Siapakah yang terbaring
nafas masih berdenyut
sedang pintu terus tertutup
kaki tidak dapat berpijak.

.
Variasari,
Mei 1988


3.
MENGARAH WAKTU
.
Kau harus jangan memantaskan laluan
atau tolong perlahan – tidak seperti biasamu,
salam secemas ini perlu sempat siap tanggungjawab
selewatnya pada ketika yang diarahkan mesti beres
supaya cemas ini tidak menjadi bahaya diri.
.
Waktu – sila, dan tolonglah melajukan jalanan
ini penantian mengapa menjadikan kau begitu lengah,
aku mendapat sakit oleh kelamaan yang kauciptakan
ke dalam perasaan dan ketidaksabaran.
.
Bukankah kau milik individu
mengapa takut pada dunia,
Waktu masing-masing dibina mengikut bentuk sikap
dan warna kehendak sendiri,
perjanjian sering lewat dipenuhi
pernahkah merosakkan acara?
.
Mereka hanya senyum kerana telah biasa
mengarah waktu – seperti waktu mesti mengejar mereka.

.
Dewan Sastera,
September 1988


4.
PARASIT
.
Yang diam
tetapi kejam
menyalin warna badan
di setiap warna padang
berbunga di depan
duri di belakang.
.
Yang senyap
perlahan menazak
mara dari dalam
detik dan detik
sisanya menghitam
tanpa sakit.

.
Bacaria,
8 Februari 1989


5.
BATU-BATU
.
Di depan tugu
seorang anak menangis
bukan takut kepada besarnya
manusia batu itu
tetapi melihat sejarah
yang disimpan dalam batu-batu
dan hidup dalam dirinya.
.
Yang terbujur itu
ayahnya yang lenyap di celah rimba
yang membantu di sisi
abang yang setia
ingin meneruskan kemerdekaan.
.
Dia mengetap gigi
menggenggam jari-jari
katanya dewasa terlalu lambat
bendera yang megah itu
melemparkan senyuman.
.
Dia terus mengkagumi tugu
batu-batu itu bernafas dalam dirinya.

.
Berita Harian,
6 Julai 1990


6.
PEREMPUAN YANG SENYUM
.
Dan satu-satunya
pohon yang tinggal
di padang telah kontang itu
daun yang masih hijau
angin tidak bertiup
tiba-tiba gugur
dahan-dahan sekah sendiri
di luar fahamnya.
.
Perempuan itu tersenyum
barangkali air matanya hilang
di sebalik hujan yang
demikian lebat atau
adakah hujan itulah
air matanya?
.
Berteduh di mana
berpaut di mana
sendiri, dia berjalan terus
sambil berkata,
“begini kehendak siapa”,
senyumnya tetap berbunga
tanpa bau
siapakah lelaki yang sanggup
membuka payung untuknya?

.
Nona,
Mac 1991


7.
SUZATI (2)
.
Terdiam langsung beberapa tanda tanya
sampai ia selengkapnya
terhasillah kanvas baru
pada dinding-dinding kosong terlukis ceria
juga bunyi yang tidak menyepikan
memenuhi ruang yang sekian diam.
.
Ketibaannya adalah jawapan
kerinduan yang panjang
mengisi manifestasi kasih
dua jarak tadbir yang lebar
sang abah dari lereng bukit
sang mama dari pinggir laut
sebelumnya tercalit ragu
kini ia menjambatnya tentu
kusut menemui selesai.
.
Suzati adalah keindahan hakiki
ambil untuk jadi petunjuk
setiap tapak yang kauhadir
akan erti seluruh ini
pasti kauakur setelah siap
kematanganmu sempurna.

.
Wanita,
Ogos 1991



8.
BIAR
.
Kuketuk bibir lekas
memungkiri selekas berjanji.
Kutukul nafsu tidak berpada
yang diberi.
Kupukul hati berat
membenar kesilapan sendiri.
.
Kubenam semua daripada
milik diri
sebelum dibenam ke dalam
panas
api alam abadi.

.
Mingguan Tempo,
17 Disember 1995



9.
SI PERASA DENGAN KATA-KATA
.
Si perasa cermat: jimat memilih diksi
setiap ungkap digerak dengan makna.
.
Diukir tuturnya dengan skala rasa
awas daripada kias keras
sedar keris kecil maha tajam
menikamkan sengsara ke lubuk hidup.
.
Si perasa enggan menggurisi: takut disakiti
selalulah tenggelam bicara
mententeram diri sendiri
tetapi sesekali merentap kata-kata
segala pendam terbongkah
bisanya menyentap lama.

.
Mingguan Watan,
14 Januari 1996



10.
KUNTUM KEMBOJA DI LAMANNYA
.
Setiap hari lain
kemboja di lamannya
ada ranting kehilangan kuntum.
.
Kuntum kemboja itu
menyerikan landskap rumput pagi
yang basah segar ke dalam dirinya
lembut di matanya
putihnya menyerlahi dadanya.
.
Dibiar sahaja
kuntum-kuntum di situ
sehingga seri warna dan utuh kelopaknya
benar-benar lucut
seiring sirna basah di rumput tengah hari.

.
Pesona,
Februari 1996



11.
TIDAK PERAMAH
.
Benar aku pendiam
tetapi kata-kataku belum disuarakan
perlu apa menyatakan
di luar garis waktu yang patut
menyuburkan sangka silap.
.
Guna apa kepetahan
merumus pendapat semata-mata
tanpa melunaskan masalah
atau tidak juga menggerakkan realiti
biar diam dalam teliti merencana
dengan berani melaksana.
.
Dengan tidak terlalu peramah
lidahku kurang memancung hati
meski kekurangan kenalan
benar tapi biarlah.

.
Mingguan Watan,
10 Mac 1996



12.
BARANGKALI
.
Barangkali kita harus pakar
membezakan jentik dengan kritik.
.
Sewajarnya kita akur
antara kehendak sendiri
dengan kemahuan orang lain
pendirian adalah hak sendiri
pun barangkali bijak jika memujuk
bukan menyentap.
.
Lebih baik barangkali belajar
mengetahui degup sebenar
landasan orang lain
tanpa disentuh sakit hati.
.
Dan tidak kenal takut
menyesali kesilapan dan mengakui kekurangan.

.
Mingguan Watan,
9 Jun 1996



13.
SEPI DALAM SUKMA SEORANG ANAK
.
Sepi tersepit dalam sukma diriku
besar rontanya – menerjang, meranduk,
menerpa, dan segalanya tak kenal lelah
tidurku jadi kecil
dan seluruh saraf teralir bosan
mendiami bergalas sakit hati
tak kaulihatnya?
.
Sepi itu tak milik ibu
untuk saling tersenyum dalam dakap
sepi itu tak punya bapa
untuk bertukar ketawa dalam suatu lucuan
dibiar kehilangan ruang keluarga
sepi itu ingin menghirup makna bebas
dengan cara sendiri
melepas sengsara.
.
Sepi itu diriku, ibu
sepi itu membarah dalam sukmaku, bapa.
.
Pulanglah dengan keibuan
kembalilah berserta iltizam kebapaan:
Kita hampar ruang taman
di lantai rumah
duduk bersama mengecap harum
dan bayu mesranya pada waktu tertentu.
.
Marilah, sebelum sepiku
terlepas ke lembah bejat
dan aku tanpa wajah sejati
tak pasti terkembali asal.

.
Dewan Sastera,
November 1998


14.
INI RUMAH KITA
.
Rumah kita ini
punya kanun temurun
tetamu dari pelosok manapun
yang masuk kalau menanggalkan kasut
dan tahu duduk
dengan sila sopan.
.
Rumah kita ini tak akan
mempersilakan sesiapa pun
mencipta sesuatu yang asing
kita dengan tanggungjawab sendiri
tetap cara kita.
.
Ini rumah kita
mereka boleh melihatnya
dari luar pagar
melalui tingkap dan pintu
yang terbuka
tetapi bukan hak mereka
menerpa masuk
mengatur segala
mengikut kemahuan mereka.

.
Berita Harian,
6 Ogos 1999

.
Sajak-sajak di atas mungkin tidak bermutu pada pandangan orang lain, kerana tidak pernah terpilih untuk mendapat sebarang anugerah sastera di Malaysia, tetapi saya puas hati akan penggunaan bahasanya yang terkawal, mudah difahami, dan isinya yang jelas.
.

15 Jun 2009

SAJAK DALAM UTUSAN ZAMAN


SELAIN Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, Utusan Zaman, yang diterbitkan pada setiap hari Ahad, juga tidak pernah ketinggalan memberi ruang kepada penulis kreatif menghasilkan karya. Saya tidak melepaskan peluang. Namun begitu, saya membeli akhbar ini apabila terdapat karya saya disiarkan, atau ada bahan yang menarik perhatian saya.
.
Akhbar ini menggunakan tulisan Jawi. Saya bertuah kerana dapat membaca dan menulis Jawi. Walau bagaimanapun, sajak pernah dicetak dalam tulisan Rumi pada suatu ketika.
.
Akhbar ini pernah berkubur seketika kerana kurang pembaca dan penerbitannya merugikan syarikat Utusan Melayu. Namun, dengan inisiatif sebuah kementerian pimpinan Dato” Rais Yatim, akhbar ini diterbitkan sekali seminggu dengan nama Utusan Melayu Mingguan. Dalam akhbar edisi baharu ini, sajak kembali dicetak menggunakan tulisan Jawi.

.
1.
SETELAH
.
Setelah masa
bermusim tua
setelah pekat
menjadi bukat
setelah segalanya
terlalu sukar
setelah kelewatan
teramat lewat
kita tak akan sakti
menukar akhir
kembali awal.
.
Biar ia berlalu
kita tunggu musim baru
meniti dengan kaki matang.

.
Utusan Zaman,
22 Januari 1984



2.
KEDATANGAN
.
Bertemu
inikah rupamu
kota
kuhadir mencelah
di antara arus segala manusia
yang mencipta serba peristiwa.
.
Hilir dan mudik aku
sehala denyutmu
di sini kutahu
tidak ada yang
tidak berlaku
dan peribadi murni
sedikit-sedikit
hakis dari pertahananku.
.
Yang telah terlebur
menjadi makin sukar
pulang ke awal
hanyutku berpanjangan.

.
Utusan Zaman,
12 Ogos 1984



3.
ANGIN
.
Angin cukup ringan
dari sudut-sudut membawa kata-kata
menuturkan segala gerak
dan amat bijaksana
memanjangkan hikayat asal
segala loji peribadi terkuak.
.
Singgah di semua pintu
padat ke sekalian liang
menghimpun kejam-kejamnya
sekah dahan-dahan.
.
Angin begitu senyap
lahir dan biak
serta amat diam
menyimpan akar
demikian culas
menerbitkan rasa tidak senang
mengudiskan mangsa
tiada batasan waktu
atau halangan tertentu
gugur daun-daun meski masih hijau.

.
Utusan Zaman,
10 Mei 1987


4.
KOTA YANG KUTINGGALKAN
.
Masuk aku ke dalamnya dengan
berkarung harapan: menukar nasib tertinggal
tetapi aku terbakar
lalu berpatah ke desa
membawa rentung
hangit tersebar segenap penjuru
menyisihku kepada seksa.
.
Kau, jangan dibakar
kota itu, bukan salahnya
aku yang bertandang
menyusur laluan yang indah
setia dipujuk pedaya
lambat mengenal perhentian
patuh kepada kegilaan sendiri.
.
Pergilah, tandangilah
kaupilih halaman yang baik
turuti niat yang putih
akan kaurasa
kota itu lebih budiman
daripada desamu sendiri,
kini, lebih memenangi berbagai-bagai dosa.

.
Utusan Zaman
7 Januari 1990


5.
DETAK JAM
.
Telah dihitung dan dikumpulnya
semua hari yang kulepaskan
detaknya tiap-tiap detik
memperingatkan kedut usia kian tebal
hujung semakin singkat tetapi
takwa belum penuh terpungut.
.
Segala suka dan dukaku jatuh
ke dalam rakaman jam
ia melilit nadiku
menjadi rakan demikian setia
sealir denyut nafasku
dan rahsiaku adalah permainannya.
.
Tiba-tiba detaknya terhenti
kehilangan catatan hariannya
bagai aku kehilangan waktu
terlepas pedomannya.
.
Biar jam baru
Mengumpul tingkah perjalanan
Setiap hari yang kutiti.

.
Utusan Zaman,
19 Mei 1991


6.
JERJAK YANG TERBUKA
.
Kemerdekaan suatu lapangan cantik
kecil tetapi cerah
bisa kita menghampar permaidani
mengikut susun letak yang sesuai
dengan corak sebudaya diri.
.
31 Ogos adalah dunia luar
membuka jerjak besi
keluar daripada banglo imperialis
setelah ditikuskan sekian kurun.
.
Dan benarlah pesan sinisnya
ketika akan meninggalkan tanah ini
bekas taklukan kekal tinggal di dalam minda
apabila bahasa hak ibunda
mahu dimasukkan mahkotanya
ke puncak wajar
masih gemuruh yang menetapkan:
“No! Ia masih belum dewasa!”
.
Entah bilakah
bangsaku dan rakyat negaraku
merdeka bersih
sebarang daki kolonial.

.
Utusan Zaman,
25 Ogos 1991



7.
PILIHAN
.
Sudah turun kita dari dukungan kolonial
kaki cekap menapak dan gagah berlari
memilih simpang sendiri
serasi dengan citra peribadi
upaya bangun daripada jatuh
walaupun mengaduh mampu membalut sendiri
lukanya.
.
Tetapi
masih kami memakai baju menyarung seluar
bercatkan corak budaya mereka
konon aromanya lebih selesa
setiap warna Barat itulah pemodenan.
.
Dan
sebahagian kami kian angkuh
berbicara lidah dan pita suara mereka
rumus nenek moyang
menjadi cukup asing di bibir.
.
Barangkali
itulah alasan utuh
mereka terus segan
menerima kebenaran kita.

.
Utusan Zaman,
17 September 1995


8.
MELIHAT TUA
.
Keseringan melihat kepala putih
di mana-mana bagai
terpercik ke rambutku juga
kedut kulit dan geleber usia
kian tebal di batang diri
mendegup gentar
di mataku titik bergerak mendekat.
.
Melihat tua yang kian
besar bayangnya di tubuhku
seperti mahu aku
menongkah luncur masa
kembali menginapi umur kecil
dan berpusing kembali di lingkar yang sama
tidak ditangkap tua.
.
Tetapi titik itu hakiki
kutahu dengan pasti
tidak perlu melaungkan berani
atau menangis bimbang
setiap detik ialah kesempatan mahal
agenda depan diri dan keluarga
yang terlewat gerak ini
tidak mampu lagi terlepas arah
harus disiapkan sebelum tua limpah
dari puncak kepala ke hujung kaki.

.
Utusan Zaman,
8 Ogos 1999


9.
PEMILIH KATA
(buat Allahyarham Usman Awang)
.
Gugur sendu sukar
dari tasik hati keluarga
dan kolam kasih saudara-mara
jua basah rasa sejauh kenalan
ketika beliau melakar senyum
menghabiskan denyut hayat
ke takah tiga.
.
Negara kekurangan lagi
pendayung bahasa segar
selamba dan teliti memilih kata
sangat bijaksana mencerakin tema
segala cetera diangkat
ke tempat wajarnya.
.
Beliau akrab dengan
getar hidup manusia seperti Pak Utih
suara rasa anak jiran Tionghua
terinjak kalbu pada nasib
beringin tua di pinggir bandar raya
tak terlupa jasa bonda
menghitung bakti dan martabat guru
malah pemuja perpaduan dan keamanan
setempat dan sejagat
dia pencinta romantik.
.
Dia jiwa yang sederhana
tahu membezakan kritik dengan caci
tak gemar menyelak dosa orang lain
menyatakan yang realiti
salah diungkapkan
benar dianggukkan
menjentik tanpa sakit
tetapi kalbu tersentuh hemahnya.
.
Jiwa demikian itu
rumit dicari lagi
moga dalam dakapan Rabbi.

.
Utusan Zaman,
9 Disember 2001


10.
NEGARA INI
.
Tiada yang lebih bernilai
selain sebuah negara yang mampu
menganugerahi kita
rasa tenteram
punya waktu untuk mengumpul jaya
dan peluang mendekati Rabbi.
.
Kocak kacau yang sesekali
meresahkan alunan hidup
oleh warga tanpa kemanusiaan
dari akal yang dicincang syaitan
itu pengingat kecil yang maha bermakna
usah lena diayun selesa.
.
Di tanah ini kita boleh
bergerak mengikut kaki
demokrasinya terus subur
kadang-kadang hampir membuka
jalan matinya.

.
Utusan Melayu Mingguan,
13-19 September 2003



11.
PENTAS MERDEKA
.
Mutakhir ini pentas merdeka
sering digoncang tangan asing
hati mereka terluka melihat
warga kita bergerak dengan
perwatakan sendiri.
.
Sesekali tangan-tangan dalaman
turut menghulurkan minyak dan api
lalu tiang pentas merdeka itu
terkesan hitam berjelaga.
.
Pentas merdeka ini kebenaran kita
hak mutlak teranugerah
benteng yang mengekalkan kekukuhan kita
mempertemukan segala kelainan
menjadi satu yang diterima seluruh.
.
Pentas ini terbina
bukan untuk berlakon
kemudian membina watak lain
atau setia sebagai pengguna
sehingga bila-bila
kita harus mencipta dan merintis.

.
Utusan Melayu Mingguan,
21-27 Februari 2004
.

14 Jun 2009

SAJAK DALAM BERITA MINGGU

SEPERTI Mingguan Malaysia, jarang saya ketinggalan akhbar Berita Minggu, semata-mata untuk mengikuti ruangan sasteranya. Bermula dengan sajak “Tanya 31 Ogos”, sembilan buah sajak saya mendapat tempat dalam akhbar ini.

.
1.
TANYA 31 OGOS
.
Pada 31 Ogos
aku tiba-tiba berani
bertanya diri
dalam usia remaja sasa
apakah telah kusumbangkan
kepada ruang kemerdekaan
untuk kebanggaan negara.
.
Aku tergamam dan
amat cepat malu
menyedari kekurangan diri
kerana selama ini
khidmat yang berisi
belum sempat kuberi.

.
Berita Minggu,
26 Ogos 1984


2.
DI DALAM DAN DI LUAR
.
Di dalam masjid
di sini tiada
yang selain
daripada-Nya.
.
Tetapi dengan berani
para pesona dari luar
menerjah masuk
bercampur jiwa yang pasrah
dengan bisikan hitam
menusuk khusyuk para jemaah.
.
Di luar masjid
tiba-tiba ada
beberapa yang lain
selain-Nya.

.
Berita Minggu,
16 September 1990.


3.
SUZATI
(Anakku: 9.12.1990)
.
Setelah bulan kesembilan penantian Sabariah Norku
menanggung Suzati tampil ke laman berkeriau nyaring
membuka cerita pertama terkejut barangkali pada luasnya
dunia cabaran pun cukup mahal.
.
Suzati diperturunkan sebahagian jasmaniku sebahagian pula
fizikal ibumu dalam tumbesaran perlu benar kaubela keindahan
hakiki yang kami catat dalam nama itu daripada campuran indah
dan sabar warnailah sepanjang tali hidup.
.
Minyak yang penuh itu, anakku, kaulah kami letakkan imej
sejak merahmu, kaubawa positifnya ke setiap ruang
yang kauziarahi.
.
Setelah sempurna matang kau bertemu akan ertinya.

.
Berita Minggu,
31 Mac 1991


4.
TERTUDUH
.
Sesiapa si pintar bahasa
akan terus bangga
memayahkan kata-kata
agar sulit diketahui audien
dan ditanggap seumpama
falsafah yang tertinggi.
.
Dia tetap bermain
dengan kata kecamuknya
dan masih diberi tepukan
yang menyebarnya
rakan seminda yang paling akrab.
.
Demikian penyair tertuduh
menulis untuk tidak mengerti
hanya untuk kepuasannya
cuma baik untuk album sendiri.

.
Berita Minggu,
14 Julai 1991


5.
KAWAT SEMPENA TAHUN BARU
.
Clinton, masihkah
polis dunia anda tidak gentar
merempuh yang tidak tahu bertegang
mencipta doktrin demi doktrin
dengan seluruh dusta?
.
Major, belum palsukah teori
betapa meneruskan Bosnia-Herzegovina
tanpa senjata
benar mengekalkan situasi tanpa perang
sewaktu Serb dan Croat
melepaskan peluru kejamnya
tanpa dibataskan sesiapa
yang masih anda definisikan bukan zalim!
.
Yitzhak Rabin, belum reputkah
pintu dendam
akar sengketa dari sejarah?
.
Arafat, mungkinkah benar
kompromi yang disahkan itu
bukan teater belakang tabir?
.
Para pemimpin Islam kuasa negara petroleum!
Belum sampaikah seru
kekayaan itu menyelamatkan umah Muslim?

.
Berita Minggu,
19 Disember 1993


6.
KE DALAM MASJID
.
Aku tidak pernah nampak jalan ke masjid itu
sebelum ini. Barangkali mataku sengaja tidak
memandangnya.
Seperti sekenyit kilat malam
kuasa apakah yang serta-merta kuat mendorongku
melihat jalan itu. Dan rela menyusurnya
sampai ke hadapan mimbar iman.
.
Rumit dengan pelbagai penggoda.
Tetapi daripada sifar aku belajar mendiaminya
hingga tenggelam ke dasar takwa. Mata kalbuku
terbuka jauh. Melihat segala yang tidak dimengerti
sebelumnya. Nampak benda bukan seluruh kunci hidup.
Hakikatnya sesudah mati hayat.
.
Aku tidak akan pulang
ke ruang nikmat yang dusta.

.
Berita Minggu,
24 Julai 1994


7.
PERISYTIHARAN KONSEP KONKRIT TEORI KEAMANAN
.
Dengan hanya sebatang jejari vetoku
inilah pengesahan polis dunia
teori keamanan ini tidak siapa-siapa
layak pertikai, bahawa
pihak bertahan haknya bertahan
walau hanya dada tanpa kulit
(senjata bukan keperluan kerana bertahan
bukan menyerang atau membunuh)
pihak menyerang berhak memusnahkan
sasaran dengan segala kepintaran
dan kelengkapan teknologi terprogram
(bentuk tindak tidak perlu diaktakan
kerana kuasa budi bicara mengatasinya).
.
Dengan ini, bahawa
makna leksikon “keadilan” dan “hak kemanusiaan”
tidak lagi benar
sehingga takrif nominal terkiniku ini
dikamuskan sesegarnya
meski selepas nanti perubahan bukan kemungkinan.

.
Berita Minggu,
20 Ogos 1995


8.
TIGA PULUH SEMBILAN
.
Waktu tak gentar menyusur musim
kembali menghadiahkan sebuah jam
dengan replika angka tiga puluh sembilan.
.
Galah usia pun terus panjang
dibawakan puncak dewasa
di sini kebun duri bersiur sering mencucuk minda.
.
Lalu bunga ketar memercik ke sukma
rumput putih makin luas berladang di kepala
menghulur makna pangkalan hayat semakin singkat.
.
Tuhan, tidak terpinta hadiah umur yang jauh
hanya biarlah sebilangan impian yang belum tergapai
sempat dikendong untuk generasi.
.
Tuhan, sungguh diingin keizinan penuh
menurunkan sarang kelalaian dari sanubari
dan menampal kegigihan berzuhud kepada-Mu.

.
Berita Minggu,
27 Januari 2002

.
Sajak “Tiga Puluh Sembilan” ini telah digunakan oleh seorang pensyarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu Bakit Rakit ketika menjadi fasilitator bengkel di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun pada tahun 2002. Pesertanya terdiri daripada guru Kesusasteraan Melayu sekolah menengah di daerah Dungun, termasuk saya sendiri dan Awang Abdullah.
.


9.
ANAK-ANAK PLKN
.
Mereka melepaskan gejala
kurungan peribadi.
.
Mereka mendirikan jambatan
sederap melaluinya.
.
Mereka menyedari kelainan
mengenyah perbezaan.
.
Mereka mencungkil potensi
terhampar jati diri.

.
Berita Minggu,
2008


.

4 Jun 2009

PUISI DALAM MINGGUAN MALAYSIA



AKHBAR Mingguan Malaysia saya baca semenjak di bangku sekolah lagi. 20 buah puisi moden disiarkan dalam akhbar besar terbitan Utusan Melayu (M) Berhad itu, bermula dengan “Siput-siput dan Lumut-lumut” (28 Februari 1982), dan yang terakhir sehingga catatan ini ditulis, “Panas Kemarau” (24 Julai 2005).
.
Tiga buah sajak terawal saya tulis dan disiarkan semasa saya masih menganggur selepas menduduki Higher School Certificate (Sijil Persekolahan Tinggi) di Sekolah Menengah Hamzah, Machang. Pada masa itu saya tidak berminat untuk menjadi guru, lalu tidak memohon untuk memasuki maktab perguruan, walaupun rakan lain sibuk berbuat demikian. Saya hanya mencari sedikit wang belanja dengan bekerja sebagai kuli bahagian simen membina Balai Bomba Machang.

1.
SIPUT-SIPUT DAN LUMUT-LUMUT
.
Siput-siput
bergantungan di batu
bergantungan di kayu
lumut-lumut
berumah tangga di batu
berumah tangga di kayu
di rerumputan
di air tenang
sejak bermusim-musim
sekian lamanya.
.
Dapatkah kita kalau
bagai siput-siput
dan lumut-lumut
beranak pinak
bercucu cicit
tanpa rumah besar
tiada motokar menjalar
tapi riang
tak pernah merungut.
.
Siput-siput
dan lumut-lumut
satu hidup yang ringkas
siput-siput dan lumut-lumut
senyap dan diam
tapi tak terjumpa
secebis sengketa.

.
Mingguan Malaysia,
28 Februari 1982

2.
WAKTU HUJAN BERHENTI
.
Selepas hujan berhenti
Ada pelangi emas
Di kepala rumahku.
.
Aku tidak tahu
apakah utusan dibawa
pelangi cantik itu
melengkung bulat bersih.
.
Apabila ia hilang
aku masih terbayang
warna-warnya
yang enggan pergi
dari ingatan.
.
Aku semakin tidak upaya
mentafsir semua itu
dan aku hanya
memendamkan persoalan
sendirian dan menunggu
apakah keputusannya.

.
Mingguan Malaysia,
17 April 1983


3.
LAMPU DAN TAMAN
.
Malam ke tengah belukarnya
ditiduri hening
meriah tadi berangkat
ke medan mimpi
lampu
menggigil sendiri
dan taman
dibekukan embun.

.
Mingguan Malaysia,
18 September 1983

.
Tujuh buah sajak berikutnya saya tulis dan disiarkan semasa saya sudah berada di Maktab Perguruan Bahasa (kemudiannya dinamai Institut Bahasa), Kuala Lumpur, mulai awal 1984. Saya memohon untuk memasuki maktab perguruan setelah emak saya mendesak saya berbuat demikian setelah permohonan mendapatkan kerja lain selalu gagal. Saya menjalani kursus asas keguruan dalam bidang Pengajian Melayu dan Sejarah sehingga akhir tahun 2006. Di Institut Bahasa, terdapat rakan yang turut aktif menghasilkan tulisan kreatif, iaitu M. Amin Sidek dan Ibrahim Talib, kedua-duanya dari Johor.

4.
HUJAN DAN RIBUT
.
Hujan makin kasar
menimpa
aku kekuyupan
di padang hidup.
.
Ribut makin keras
menerjah
dan aku kehilangan rentak
di tanah beralun.
.
Hujan dan ribut bersatu
menggoncang
halaman diri
menjadikan aku semakin
tercari-cari
arah hakiki kehidupan
tetapi demikian berani
mengejarnya
di dalam payah dan
cabaran yang menunda-
nunda.

.
Mingguan Malaysia,
28 Oktober 1984


5.
LAMPU DAN TAMAN (ii)
.
Kelkatu bermain lampu
satu demi satu
gugur sayap-sayap
terhempas tubuh-tubuh
menimpa rumput-rumput basah
di taman.
.
Pengunjung menyemai mesra
memenuhi taman
di bawah hitam bayang
dan berarak keluar
membawa daging noda.
.
Lampu dan taman
mencatat satu persatu
bukti sandiwara.

.
Mingguan Malaysia,
13 Januari 1985


6.
LAMPU DAN TAMAN (iii)
.
Pepohon menggugurkan daun-daun
liuk-lintuk telah tiada
ranting-ranting kontang.
.
Lampu tidak bercahaya
malam amat sepi dan ngeri.
.
Taman bukan lagi taman
catatan pengunjung mula berakhir.
.
Lampu dan taman ini
tidak terlalu lama nanti
menjadi tapak memacak
rangka-rangka besi
kotak-kotak batu.

.
Mingguan Malaysia,
19 Mei 1985


7.
PULANG SESEKALI
.
Pulang sesekali
berubah warna
bertukar rasa
warga desa menyambut senyum
bertanya bila sampai
dan membuka pintu rumah.
.
Pulang sesekali
terlupa deru kota
kasih keluarga demikian dekat
mata kekasih kian berseri
debar dada bertambah erti.
.
Pulang sesekali
sembuh luka lama
padam benci purba
diri diberi harga.

.
Mingguan Malaysia,
27 Oktober 1985


8.
HUJAN DAN RIBUT (ii)
.
Hujan menyimbah terus
ke dalam diri
melemaskan dengan persoalan
satu, satu
tidak mati-mati
meski hujan alam
sebenarnya telah kekeringan titis.
.
Ribut menerpa juga
ke lubuk perasaan
menghoyong bersama kekhuatiran
menyulitkan penapakan
walau ribut di luar
sebetulnya sudah kehabisan angin.
.
Hujan dan ribut dalaman
rupanya terlalu parah
lebih dari
segala-galanya di luar diri.

.
Mingguan Malaysia,
19 Januari 1986


9.
MALAM MERAJUK
.
Sampainya seperti selalu
meruangkan nikmat
meski seketika
terhalau juga mimpinya
setiap berlabuh
jalan tidak berhenti digilis
sunyi bersembunyi:
ketawa-ketawa girang, yang tidak
pasti makna
menerobos tingkap hingga
bangun matahari.
.
Ia hairan termanggu
mengapa hadirnya
sebegitu bakti
tidak terisi
rehat yang sungguh nyenyak:
kalau bukan kerana alam
bertugas begitu
ia tidak ingin datang kembali
bermula esok.

.
Mingguan Malaysia,
27 Julai 1986


10.
DARI LORONG INI
.
Di atas lorong yang dahulu adalah
gelanggang lalu hari dan
bisa pejam melangkah
masa ini sudah tidak pasti
langkah terhias beberapa sangsi
berbagai kelainan ini
telah membezakan asalnya.
.
Rumah-rumah bangun dengan tembok
tegak sebelah-menyebelah
menyempadankan pandangan
sentuhan mesra gugur antara hati
hamparan laman bercorak-corak
menaburkan nafsi-nafsi setebalnya.
.
Dari lorong ini
tersaksi sesungguhnya
ghairah keasingan
tertebar.

.
Mingguan Malaysia,
7 Disember 1986


.
Mulai awal 1987, saya berkhidmat di Sekolah Menengah Jengka 10, Bandar Pusat Jengka, Pahang. Saya keseorangan dalam dunia penulisan di sini, tetapi rakan setugas dan orang setempat yang mengetahui hal dunia kreatif saya turut memberi rangsangan. Lima buah puisi sempat disiarkan dalam Mingguan Malaysia.

11.
PERCAKAPAN BULAN KETIKA MELINTASI KOTA
.
Malam mewarnakan waktu
dengan seluruh cat hitam
lalu aku tampil
menumpahkan cahaya perak
tetapi di bumbung kota ini
tak sampai
ke puncak pohon-pohon kayu dan batu.
.
Begitulah aku disingkir
di kota begini
mengambil kuasa adalah
neon yang bercorak-corak warna.
.
Seharusnyakah aku merajuk
atau memohon dibersarakan
tetapi ini tugas yang abadi
dan akulah satu-satunya
aku mesti melintas
meski dengan pucat
pada ketika yang
telah diarahkan.

.
Mingguan Malaysia,
10 Mei 1987


12.
BAHAWA IA TETAP DATANG
.
Bahawa dia tetap datang
kita tidak sepatutnya
bersusah menilik waktunya
hanya bersedia
setahap mampu
dan terimalah.
.
Menunggu tidak lain
lebih menggusarkan
kita seperti kehilangan sempurna
atau mungkin pula meluruhkan
beberapa keyakinan yang telah
sekian dipegang.
.
Takutinya
agar lebih bersedia
bahawa ia tetap datang
adalah kematian itu
sesaat lagi
telah siap disurat-Nya.

.
Mingguan Malaysia,
16 Ogos 1987


13.
MELANGKAH KEMUNGKINAN
.
Sebelum melangkah
sandarkan kemungkinan
ia akan ditemui
apakah coraknya
rumit untuk dipastikan.
.
Sebelum melangkah
tentukan rangka menyelesaikan
begini kalau ini
begitu jika itu.
.
Setelah melangkah
kemungkinan pun bermula
kita pun merelakan
seberapa sanggup.

.
Mingguan Malaysia,
31 Julai 1988


14.
MELANGKAH KEMUNGKINAN (ii)
.
Masih hari pagi
cepat pula akan tengah hari
setelah petang
segala hampir terlewat
ketika malam
terpaksa meredah kelam
tanpa janji sempurna.
.
Esok siapakah yang
dapat menjangka
warna kemungkinannya
namun gagasan kehidupan
mendesak melangkah seterusnya
keberjayaan itu adalah mesti.
.
Awal pagi ini
melangkah kita
sepenuh berani.

.
Mingguan Malaysia,
2 April 1989


15.
TIGA CATATAN DI TERENGGANU
.
1.
Dungun:
sekuntum puteri di halaman
Jalan Bunga Raya
terpilih menenangkan
resah kamarku
mengharumkan sejauh hayat
menjadi titi emas
dua daerah.
.
2.
Rantau Abang:
angin laut yang semakin hilang
penyu sudah terlupa
jeti yang paling digemarinya
pohon-pohon tetap kecil
dalam usia tua
di pasir kedekut kesuburan.
.
3.
Kuala Terengganu:
telah bangkit
menjadi kota berbagai
hujan yang setia menguyupkan
di dalamnya budaya semakin terbakar
dibiarkankah demikian?

.
Mingguan Malaysia,
11 Jun 1989


.
Mulai 1993 saya meninggalkan Jengka 10, Pahang untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama melalui Program Kembar Institut Bahasa-Universiti Malaya. Saya antara pelajar perintis program tersebut. Mulai 1994 saya memasuki program ijazah Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya.

16.
KEINGINAN
.
Aku mahu mendiami waktu hayat
Al-Kinda dan Ibn Sina
barangkali tingkap minda muslimku
terang menangkap filsafat.
.
Aku ingin menyelongkar di sebalik mereka
melarik acuan mengukir puncak peradaban
menawan minat dunia
menimba resipi keagungan
yang kemudian mengafankannya.
.
Aku ingin sekali kembali membuka
pintu zaman keajaiban itu
yang ditimbus gua gelap
melingkungi nafas lesu muslimin mutakhir.
.
Aku mahu kita
utuh semula di garis tinggi
dengan petunjuk silam
seranum dunia lain yang semakin
meninggalkan.
.
Keinginan itu perlu dengan peta ilmu
aku sedang lekas mengumpulnya
satu, satu!
.
Mingguan Malaysia,
18 September 1994


17.
DESA DAN KOTA
.
Benarkah nafsi-nafsi berani berumah
cuma di kota
kotaknya mendidik mungkar
cambah menjadi citra peribadi
sketsa sendiri yang tidak terbantah.
.
Betulkah tanpa pagar pemisah pandang
desa masih akrab menyatukan warga
adab tidak diusik musim
lalu maksiat terus segan
mengacip taring bisanya.
.
Khabar jenuh tersebar
sapa mesra di desa tidak terjawab
undangan tidak terisi
dighairahi tembok adicita siasah
anak-anak muda menadah kebebasan
mencium rakus dosa dari teknologi
khabar itu ciri kota yang pasti.

.
Mingguan Malaysia,
19 Mei 1996


.
Pada 1 April 1998 saya melapor diri untuk mula bertugas di SMK Sultan Omar, Dungun. Di daerah ini, saya masih berkarya tetapi kurang aktif.

18.
PESAN KEPADA ANAK
.
Menduduki laman sarjana
nisbi engkau maha tinggi
alias maha tahu
rumput, tanah, kayu, batu
keras di puncak itu
cabang keliru berselirat
semakin panjang yang kau
tahu sekerat;
bacalah dengan firasat.
.
Belajarlah untuk tidak menjabat
derhaka
dengan hati lestari
menyimpan jasa yang pernah
memberi meski sekuman budi;
ayah yakin engkau bukan kacang.
.
Berhati-hati mempercayai dakwaan
janji bukan kota teguh
di dada palsu
engkau didewasakan bukan untuk
mengakarkan kemusnahan
tetapi membiakkan kemurnian.
.
Ayah tahu engkau
anak yang baik
kenal asal
tahu makna.

.
Mingguan Malaysia,
6 Februari 2000


19.
SALAM
.
Salam kepada damai
teruslah bermastautin di tanah kami
menggertak setiap sumber sengsara
daripada angkara sang hati kelabu
juga tangan nakal luar negara.
.
Salam kepada kawan
biarlah tidak tega berdendam
meski dibahangi nyalaan pertentangan
ideologi politik semasa
sering menghalalkan cara.
.
Salam kepada musuh
minta dipadamkan pangkal amarah
tidak bermusuh semata-mata
kerana bergelar musuh
sengaja melumpurkan sungai sejahtera.
.
Salam kepada 2002
bacalah selengkapnya inti sejarah
dan makna hijrah putih
tahun ini tegakkan isi sejarah lain
yang lebih bermakna.

.
Mingguan Malaysia,
13 Januari 2002


20.
PANAS KEMARAU
.
Kemarau membaling
bergelung-gelung pusar api
ke parit, longkang, sungai,
kolam, paya, tasik, danau
air disumpah menjadi tanah
kontang
mata angin ditusuk debu.
.
Panas menakik iman
berbahang bara amarah
terbakar pertimbangan,
simpati, kasih, kemanusiaan,
kelembutan
hati membenih serapah syaitan
gurau tercambahkan telingkah
benci terlepas hingga sanggup
tangan berlumpur darah.
.
Langit ditutupi mentari
pokok hujan mati
sesekali turun titis kecil
singkat
jauh di dasar bekas
dikumpul bagai emas.
.
Sang kemarau
menggelimpangkan bangkai
berpasang-pasang telapak
tangan dibuka
Tuhan galak didekati
setelah jauh.

.
Mingguan Malaysia,
24 Julai 2005


.
Selepas sajak ke-20 itu disiarkan, bukan saya tidak terus mengirim sajak kepada Mingguan Malaysia, tetapi karya saya tidak mendapat tempat. Wallahuaklam.
.

2 Jun 2009

"SAJAK-SAJAK PERTAMA"



PENULISAN sajak saya bermula pada tahun 1978. Seperti yang telah dinyatakan dalam catatan lalu, genre sajak saya bertolak daripada puisi kanak-kanak yang mendapat tempat dalam majalah kanak-kanak.
.
Puisi pertama yang tersiar ialah “Hantu”. Inilah juga puisi kanak-kanak yang pertama.
.

Hantu
.
Hantu...
siapa yang takutkannya
larilah bersembunyi
di dalam rumah
atau di mana-mana...
.
Tapi...
betulkah yang dilihat
adalah hantu
atau hanya godaan perasaan
menggoncang dada yang kurang iman.
.
Mana yang paling ditakuti
hantu atau Tuhan
atau kedua-duanya?

.
Bambino,
Januari 1979

.
Sajak pertama yang temanya menjengah hal alam dewasa ialah “Bagaimana Selepas Ini”. Sajak ini menggunakan nama pena saya, Ahusma. Inilah juga sajak pertama disiarkan oleh majalah untuk pembaca dewasa.
.

Bagaimana Selepas Ini
.

Kita tidak tau
di anjung mana
kita bebas berbicara
dan selesa duduknya.
.
Di sudut-sudut itu
telah tiada ruangnya
yang sekarang
baru sesaat berlalu
bertambah sempit lagi
dan kemudiannya
kita berhimpit-himpit di sini.
.
Kita juga tidak tau
bagaimana selepas ini
bila pulang anjung-anjung
diperbesarkan
lalu kita pun kembali
selesa dengan apa yang dimiliki
dulu.

.
Balai Muhibah,
Jun 1980.

.
Utusan Pelajar, tempat paling awal saya mengasah bakat penulisan, juga menyiarkan puisi saya, iaitu “Sumpah”
.

Sumpah
.
Pendirian
kugenggam erat di penjuru hati
kenekadan padu
kusulam di tengah jiwa dan cita
dan tiada lagi tempatnya
angan-angan
atau tiada lagi ruang untuk mimpi
di dalam tidur atau jaga
demi cita
perlukan pengorbanan.
.
Semuanya adalah
bagi menjulang kemenangan
dalam kepayahan.

.
Utusan Pelajar,
30 Oktober 1980

.
Siaran radio yang mula-mula menyiarkan sajak saya ialah RTM Kota Bharu, melalui slot “Rampai Rasa”, dengan sajak “Di Mana-mana Senja Tetap Ada”. Walau bagaimanapun, salinan sajak itu gagal saya temukan. Sajak kedua yang mendapat tempat dalam ruangan itu ialah “Bukan Kehilangan”

.
Bukan Kehilangan
.
Siapalah aku
di antara bintang-bintang itu
tak terlebih dari
sebutir cahaya merah
yang tiada indahnya.
.
Aku lahir
tidak untuk sesiapa
jauh dari membahagiakan
bukan jua buatmu
seorang pemilik
bukit-bukit harta
aku tak punya apa-apa.
.
Lupakan segala-gala
dan selamat tinggal
pergiku bukan untuk dicari
secebis doa Cuma
berbahagialah panjang-panjang
aku tidak mungkin
merasakan suatu kehilangan.

.
Rampai Rasa,
RTM Kota Bharu, 23 Mac 1982.

.
Sajak ulung saya dalam akhbar arus perdana ialah “Siput-siput dan Lumut-lumut”.

.
Siput-siput dan Lumut-lumut
.
Siput-siput
bergantungan di batu
bergantungan di kayu
lumut-lumut
berumah tangga di batu
berumah tangga di kayu
di rerumputan
di air tenang
sejak bermusim-musim
sekian lamanya.
.
Dapatkah kita kalau
bagai siput-siput
dan lumut-lumut
beranak pinak
bercucu cicit
tanpa rumah besar
tiada motokar menjalar
tapi riang
tak pernah merungut.
.
Siput-siput
dan lumut-lumut
satu hidup yang ringkas
siput-siput dan lumut-lumut
senyap dan diam
tapi tak terjumpa
secebis sengketa.

.
Mingguan Malaysia,
28 Februari 1982


.
Sajak terawal saya yang tersiar dalam akhbar Jawi, Utusan Zaman, ialah “Setelah”.

.
Setelah
.
Setelah masa
bermusim tua
setelah pekat
menjadi bukat
setelah segalanya
terlalu sukar
setelah kelewatan
teramat lewat
kita tak akan sakti
menukar akhir
kembali awal.
.
Biar ia berlalu
kita tunggu musim baru
meniti dengan kaki matang.

.
Utusan Zaman,
22 Januari 1984


.
Pada tahun 1984 juga, akhbar Berita Minggu, mula menyiarkan sajak saya, iaitu “Tanya 31 Ogos”. Sajak ini mengalami sedikit suntingan, termasuk judulnya.

.
Tanya 31 Ogos
.
Pada 31 Ogos
aku tiba-tiba berani
bertanya diri
dalam usia remaja sasa
apakah telah kusumbangkan
kepada ruang kemerdekaan
untuk kebanggaan negara.
.
Aku tergamam dan
amat cepat malu
menyedari kekurangan diri
kerana selama ini
khidmat yang berisi
belum sempat kuberi.

.
Berita Minggu,
26 Ogos 1984

.
Majalah khas untuk wanita, Wanita, terbitan Utusan Melayu, menyiarkan karya sajak saya yang pertama, “Yang Ditinggalkan”.

.
Yang Ditinggalkan
.
Yang kautinggalkan itu
kesan rasa yang
sempat kaumengerti sebenarnya
sewaktu keberangkatan.
.
(Puisi ini sebetulnya
patut kuserahkan
di saat hampir kehilangan itu
tidak sempat ia sempurna
sebak mencederakan
sebahagian bait ilhamnya).
.
Kau pun di sana
terdinding oleh laut
aku tidak begitu pasti
adakah gelombangnya
masih kaudengar
dalam mengggalas tanggungjawab
adakah telah kaulepaskan
rasa yang pernah disahkan
kerana sejak beberapa ketika
aku telah ketiadaan
pena sepimu di kertas biru.
.
(Lalu puisi ini
berubah diksi
sepatutnyakah begitu?)

.
Wanita,
Mac 1988.

.
Setelah beberapa banyak kali mencuba, akhirnya sajak “Mengarah Waktu” tiba-tiba tersiar dalam Dewan Sastera.

.
Mengarah Waktu
.
Kau harus jangan memantaskan laluan
atau tolong perlahan – tidak seperti biasamu,
salam secemas ini perlu sempat siap tanggungjawab
selewatnya pada ketika yang diarahkan mesti beres
supaya cemas ini tidak menjadi bahaya diri.
.
Waktu – sila, dan tolonglah melajukan jalanan
ini penantian mengapa menjadikan kau begitu lengah,
aku mendapat sakit oleh kelamaan yang kauciptakan
ke dalam perasaan dan ketidaksabaran.
.
Bukankah kau milik individu
mengapa takut pada dunia,
Waktu masing-masing dibina mengikut bentuk sikap
dan warna kehendak sendiri,
perjanjian sering lewat dipenuhi
pernahkah merosakkan acara?
.
Mereka hanya senyum kerana telah biasa
mengarah waktu – seperti waktu mesti mengejar mereka.

.
Dewan Sastera,
September 1988
.
Sajak-sajak pertama di atas, ternyata mewujudkan sajak-sajak selanjutnya dalam ruangan berkenaan.

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...