KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

26 Jun 2009

PANTUN: PUISI YANG RUMIT DICIPTA


PANTUN sangat unik. Hal ini demikian kerana pembinaan pantun perlu mematuhi beberapa formatnya. Rima akhir barisnya harus berselang: a-b-a-b., dan baris pertama dan kedua merupakan pembayang. Oleh itu, sekiranya terdapat pantun yang rima akhir barisnya sama, a-a-a-a, bentuk itu tidak dapat dianggap pantun. Rima sedemikian seolah-olah bentuk syair, tetapi tidak mematuhi format syair yang memerlukan setiap baris merupakan isi.
.
Dengan format sedemikian, pantun sukar dicipta. Saya hanya mencipta pantun apabila ingin digunakan untuk skrip tertentu atau diminta oleh pihak yang ingin menggunakannya. Apabila mencipta pantun, saya sangat mengambil kira tentang rima akhir barisnya agar mantap dan tepat. Misalnya, jika suku kata akhir perkataan terakhir dalam baris pertama ialah “du” pada perkataan “mengkudu”, maka suku kata akhir perkataan terakhir baris ketiga juga “du”, seperti pada perkataan “sepadu”. Saya tidak berpuas hati jika yang digunakan “lu”-“du” atau “su-mu” atau sebagainya. Walaupun begitu, sekiranya gagal menggunakan bunyi yang sama seratus peratus, terpaksalah saya berpuas hati dengan bunyi yang hampir sama. Suku kata akhir perkataan kedua atau kedua untuk baris pertama dan keempat juga seboleh-bolehnya saya usahakan supaya bunyinya sama, seperti “ku” pada perkataan “paku” digandingkan dengan “ku” juga pada perkataan “tuanku”. Namun, jika gagal berbuat demikian, barulah saya berpuas hati dengan “ku”-“su” atau “hu”-“gu”.

.
Pada bulan November 2007, saya menyertai Pertandingan Pantun yang bertemakan Penghayatan Rukun Negara anjuran Radio Klasik Nasional (RTM). Dua kumpulan pantun yang saya kirim melalui e-mel disiarkan dan terpilih ke peringkat penilaian akhir. Setiap kumpulan terdiri daripada dua rangkap pantun empat kerat. Akhirnya, saya antara lima orang pemenang yang dipanggil menerima hadiah di Angkasapuri. Namun, saya yang tidak dapat hadir mewakilkan adik saya yang tinggal di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Noraini, untuk menerimanya. Selain itu, saya tidak tahu pasangan pantun yang dipilih itu.

.
Penghayatan Rukun Negara (1)
.
Pucuk paku daun mengkudu,
Ulam kampung pembuka selera;
Paduka tuanku lambang sepadu,
Tempat berpayung warganegara.
.
Bertingkah gendang di pantai Melawi,
Tanda bermula musim menyemai;
Tegak undang-undang teguhlah pertiwi,
Peraturan dipersenda hanguslah damai.

.
Penghayatan Rukun Negara (2)
.
Ikan gelama penuh pedati,
Tarik pukat sepanjang petang;
Mematuhi agama sepenuh hati,
Jalan berkat luas terbentang.
.
Asam kandis asam gelugur,
Dijual budak di hujung kuala;
Tutur manis tatkala menegur,
Tingkah tidak meruntuh susila.

.
Saya pernah diminta agar mencipta beberapa rangkap pantun untuk digunakan dalam pengacaraan majlis persaraan Puan Hajah Faudziah Abd Latiff, Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan. Saya pun berusaha menyiapkannya, tetapi tidak digunakan kemudiannya.

.
I
.
Pengat pisang jamuan di pekan,
Makan berteman mari mulai;
Selamat datang tetamu diraikan,
Kesanggupan puan kami hargai.
.
Makan berteman mari mulai,
Makan bersama bagai sekeluarga;
Kesanggupan puan kami hargai,
Meluangkan masa sangat berharga.

.
II
.
Ikan kerisi si ikan bawal,
Masak pedas ikan gelama;
Puan permisi terlalu awal,
Belum puas kita bersama.
.
Bakar baulu menjelang petang,
Dibawa pulang anak menantu;
Gurauan lalu masih terngiang,
Takkan hilang dipacu waktu.
.
Pisau raut bertatah suasa,
Pecah mangkuk tergesel kuali;
Kalau diikut kehendak rasa,
Mahu dipujuk puan kembali.
.
Ayam berkokok berkali-kali,
Berkicau juga merbah jambul;
Meski dipujuk puan kembali,
Apatah daya takkan termakbul.

.
III
.
Buah kelapa kontang sebiji,
Waktu hujan menimpa papan;
Dengan sukacitanya dipersilakan Kak Ji,
Tampil ke depan menyampaikan ucapan.
.
Hendak membeli buah keranji,
Bawa bertih habis dimakan;
Demikian tadi rasa hati Kak Ji,
Terima kasih kami ucapkan.
.
Pohon bidara tanam di taman,
Tumbuh pula pohon rumbia;
Selamat bersara Kak Ji budiman,
Aman sejahtera sepanjang usia.
.
Orang muda menangkap kelah,
Kelah dibeli habis semua;
Sekiranya ada silap dan salah,
Harap kami dimaafi jua.
.
Buah nangka dilupa jangan,
Gulai kari dengan kelapa;
Sebagai tanda memanjangkan kenangan,
Terimalah cenderahati tidak seberapa.

.
Untuk majlis persaraan pengetua ke-20 SMK Sultan Omar, saya dikehendaki untuk menyediakan skrip bagi persembahan multimedia. Saya memasukkan tiga rangkap pantun pada awal persembahan dan dua rangkap pada akhir persembahan.

.
I
.
Kain batik ditenun cermat,
Sarat muatan bawa ke pasar;
Di Dungun terdidik di Dungun berkhidmat,
Anak tempatan berjati diri besar.
.
Sudah lazim pagi berkabut,
Cahaya bersemi keringkan tanah;
Penuh takrim tuan disambut,
Memimpin kami sempurnakan amanah.
.
Pohon kelapa hinggapnya camar,
Terbang mudik memburu ikan;
Ketua warga di Sultan Omar,
Cikgu Malik kita ceriterakan.

.
II
.
Terbang sekawan burung kenari,
Turun berempat di dahan berangan;
Budi tuan kukuh di sanubari,
Sejauh hayat jadi kenangan.
.
Tumbang punggur dahan pun sekah,
Terkejut burung sedang makan;
Tersalah tutur tersilap tingkah,
Ampun dan maaf kami dambakan.
.
Saya juga pernah mencipta pantun tentang keistimewaan negeri Terengganu.

.
Terengganu dan Tradisinya
.
Hari Sabtu sungguh meriah,
Riuhnya peniaga seawal pagi;
Negeri Terengganu bumi bertuah,
Kaya budaya bermutu tinggi.
.
Bawa ketupat ke Bukit Kor,
Inti kacang banyak bekalan;
Betapa lazat keropok lekor,
Nasi dagang tidak ketinggalan.
.
Tasik Permaisuri dihias cantik,
Jambangan bunga di atas titi;
Songket asli dan kain batik,
Tenunan sutera kekal diminati.
.
Dari Kemasik ke pekan Geliga,
Ikan bawal disiang cermat;
Halus berlarik seni tembaga,
Turut terkenal ukiran khat.
.
Langsat, sagu dan pelbagai bunga,
Pasar Paka tempat jualan;
Rodat dan lagu halwa telinga,
Segar mata menonton tarian.
.
Hantar umbut dengan kereta,
Pasar Payang habuan rezeki;
Congkak dan selambut pilihan wanita,
Gasing dan lelayang kesukaan lelaki.
.
Bot galah membawa timah,
Candat sotong di hujung tanjung;
Alamnya indah warga peramah,
Terpikat pelancong kembali berkunjung.
.

Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...