SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 7/6/2012

Kongsi

SEKIRANYA TERDAPAT KEGIATAN SASTERA YANG BAKAL BERLANGSUNG DI TEMPAT SAUDARA, BOLEHLAH BERKONGSI MAKLUMAT DENGAN BLOG INI. HANTAR MAKLUMAT MELALUI E-MEL: saimimsalleh@gmail.com . TERIMA KASIH.

Sekitar SASTERA SEMASA

SAYEMBARA MENDEKLAMASI SAJAK BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU:

Tarikh: 6 Oktober 2012 (Sabtu)
Masa : Mulai 8.00 pagi (Saringan)
Tempat: Perpustakaan Awam Terengganu

Kategori: Terbuka, Pelajar Sekolah Rendah, dan Pelajar Sekolah Menengah.

Pertandingan akhir akan diadakan pada pukul 9.00 malam.

8 Julai 2009

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untuk memberi nasihat secara halus.
.
Dua buah gurindam berikut pernah saya kirim kepada editor Pelita Bahasa dan Dewan Sastera, tetapi tidak disiarkan.
.

1.
GURINDAM HENDAK JADI
.
Hendak jadi insan berilmu
Perlu sudi berjumpa guru.

Hendak jadi anak cerdik
Walaupun gagal tidak serik.

Hendak jadi pelajar cemerlang
Tidak belajar alang kepalang.

Hendak jadi orang gigih
Buat kerja tak mudah letih.

Hendak jadi diri bijaksana
Perlu kerap memerah minda.

Hendak jadi warga bermanfaat
Jangan rumitkan hidup masyarakat.

Hendak jadi masyarakat prihatin
Perlu mengerti nasib orang lain.

Hendak jadi individu dihormati
Harus berbakti seikhlas hati.

Hendak jadi umat beriman
Tunai tanggungjawab kepada Tuhan.

Hendak jadi manusia contoh
Tak lakukan hal tak senonoh.

Hendak jadi rakyat terbilang
Silap yang terjadi tidak diulang.
.
.



2.
GURINDAM ORANG BERHEMAH
.
Sungguhpun dia pihak yang betul
Tidak dianggapnya orang lain biul.

Apabila dia terbuat khilaf
Segera ia meminta maaf.

Kalau orang memohon ampun
Disambutnya dengan penuh santun.

Meskipun berasa sangat benci
Di depan ramai tidak mencaci.

Ketika dia memberi pandangan
Sedayanya dielak unsur umpatan.

Andai pendapatnya tidak diterima
Diakurinya dengan hati terbuka.

Walaupun berat menerima jemputan
Ditolaknya dengan alasan yang sopan.

Kalau dia diminta berjanji
Dipertimbangkannya berkali-kali.

Apabila dia mendapat banyak
Tidak sekali-kali menjadi tamak.

.
Gurindam, apabila dilagukan, sangat indah bunyinya. Puisi ini harus lebih didedahkan kepada umum melalui siaran media elektronik, khususnya radio dan televisyen. Lebih berkesan jika diadakan sayembara gurindam: mencipta dan melagukannya.
.
.
.
.

Tiada ulasan:

Carian