KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

18 Mei 2009

DRAMA RADIO: SUKARNYA MENGGARAP DIALOG

DRAMA radio pertama saya yang tersiar ialah drama 15 minit, "Nombor 5 Persiaran 1", terbitan Mahani Ujang, siaran RTM Kuala Lumpur.
.
Tidak mudah bagi saya untuk memasuki genre drama radio. Kesukarannya pada garapan dialognya. Ungkapan yang dikeluarkan oleh watak harus dapat menggambarkan tingkah lakunya serta sifat luaran dan dalamannya. Selain itu, kita harus bijak bermain dengan kata-kata supaya tema dapat dilunasi. Lebih-lebih lagi apabila menulis drama 30 minit.
.
Pada awal percubaan saya menulis drama radio, saya mengirimkan skrip sepanjang empat lima muka surat kepada penerbit drama RTM Kota Bharu. Penerbitnya, Mahadi Ibrahim, mengembalikan skrip saya berserta dengan skrip contoh. Saya mencuba tetapi tidak mampu pada awalnya.
.
Saya kerap mendengar drama 15 minit RTM Kuala Lumpur yang siarannya setiap pagi. Saya pun mengirim sebuah skrip kepada penerbitnya. Mahani Ujang juga mengembalikan skrip saya berserta dengan skrip contoh serta perkembangan watak dalam drama itu. Perkembangan watak perlu diketahui penulis kerana drama ini menggunakan watak yang sama. Saya cuba menulis skrip "No. 5 Persiaran 1" itu. Terkial-kial saya untuk menghidupkan watak Amir, Amran, Amizah, Encik Aman, Puan Mariam, dan Abang Ibrahim (Berahim)
.
Nombor Lima Persiaran Satu
  1. "Sekampung Riuhnya" (RTM Kuala Lumpur, 29 April 1980)
  2. "Amir dan Berahim Ditimpa Malang" (RTM Kuala Lumpur, 6 Mei 1980)
  3. "Pengajaran" (RTM Kuala Lumpur, 28 Ogos 1980)
  4. "Terjebak" (5 September 1980)
  5. "Memancing Ikan" (5 Februari 1983)
  6. "Surat Khabar" (19 Mei 1983)
  7. "Al-Quran Gedung Segala Ilmu" (30 Mei 1983)
  8. "Amir Letak Jawatan" (14 Februari 1984)
  9. "Kerana Wang" (22 Februari 1986)
  10. "Mangsa Main-main" (28 Februari 1986)
Saya berpuas hati menulis drama-drama tersebut setelah bertungkus-lumus mempelajarinya. Saya masih ingat, drama pertama diubahsuai oleh penerbitnya. Namun, karya selanjutnya tidak mengalami suntingan yang serius. Drama ketujuh merupakan karya tugasan yang dibuat oleh penerbit, sempena dengan Musabaqah Membaca Al-Quran.
.
Kiambang Bertaut
  1. "Tiada Lagi Gerhana" (RTM Kota Bharu, 8 Januari 1981)
Puisidra
  1. "Merpati" (RTM Kuala Terengganu, 17 Ogos 1983)
  2. "Kemungkinan" (RTM Kota Bharu, 6 April 1984)
Saya masih ingat kisah tentang drama "Kemungkinan" itu. Saya menerima surat daripada RTM Kuala Terengganu agar menandatangani kontrak penyiaran untuk urusan pembayaran. Dalam kontrak itu, yang dihantar sebelum siarannya, menyebut tarikh siarannya. Kebetulan pada tarikh itu saya baru mengikuti kursus perguruan di Kuala Lumpur. Saya meminta emak saya mendengarnya. Kebetulan pula pada tarikh itu emak saya ada hal di "kampung" (kawasan Temangan Lama, dua hingga tiga batu perjalanan dari rumah emak saya). Yang lucunya, emak saya sanggup membawa radio bersamanya ke majlisnya itu. Yang malangnya, drama saya itu tidak disiarkan kerana pada waktu itu ada siaran lain secara tiba-tiba. Drama saya itu disiarkan dua minggu selepas itu.
.
Drama Minggu Ini
  1. "..." (RTM Kuala Terengganu, ............. )
Inilah skrip drama saya yang terakhir. Ketika itu saya sudah lama menetap di Dungun, berkhidmat sebagai guru di SMK Sultan Omar, Dungun. Drama tersebut sebenarnya olahan semula daripada cerpen "Untuk Menguji Perasaan" yang disiarkan dalam Utusan Zaman (14 September 1983). Malahan, cerpen ini percubaan saya untuk tidak menghilangkan idea tentang pemandu teksi yang menculik seorang pelajar anak orang kaya kerana hendak menguji perasaan bapa dan keluarga pelajar itu apabila kehilangan anak yang disayanginya, seperti yang dialaminya apabila anaknya maut dalam kejadian langgar lari oleh orang kaya itu. Idea ini pernah saya turunkan dalam drama televisyen dan dihantar ke RTM. Ketika saya di maktab perguruan, saya mendapat tahu skrip tersebut tersimpan di RTM, tetapi hingga kini tidak diterbitkan.
.

Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...