SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 7/6/2012

Kongsi

SEKIRANYA TERDAPAT KEGIATAN SASTERA YANG BAKAL BERLANGSUNG DI TEMPAT SAUDARA, BOLEHLAH BERKONGSI MAKLUMAT DENGAN BLOG INI. HANTAR MAKLUMAT MELALUI E-MEL: saimimsalleh@gmail.com . TERIMA KASIH.

Sekitar SASTERA SEMASA

SAYEMBARA MENDEKLAMASI SAJAK BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU:

Tarikh: 6 Oktober 2012 (Sabtu)
Masa : Mulai 8.00 pagi (Saringan)
Tempat: Perpustakaan Awam Terengganu

Kategori: Terbuka, Pelajar Sekolah Rendah, dan Pelajar Sekolah Menengah.

Pertandingan akhir akan diadakan pada pukul 9.00 malam.

3 April 2012

MASIH BERKARYA, TETAPI TIDAK DISIARKAN

SUDAH lama benar karya saya tidak mengisi mana-mana ruang akhbar atau majalah. Beberapa orang kenalan sesekali bertanyakan hal itu melalui ruang Facebook. Kali terakhir karya saya menemui pembaca hanyalah sebuah sajak, "Sangat Kutahu", disiarkan dalam Utusan Malaysia. Sajak itu sebenarnya sebuah sajak khas untuk Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2011. Kebetulan sambutan itu diadakan di Dungun, maka Sdr Wan Zulkifli Wan Yaakub, meminta saya menulis sajak itu.

Hendak dikatakan saya sudah tidak berkarya, tanggapan itu tidak tepat. Saya tetap menghasilkan karya. Namun, lazimnya kebanyakan karya tidak dapat saya siapkan dengan segera. Sama ada yang saya conteng pada kertas atau yang saya taip dalam komputer, selalunya tergantung. Saya juga masih menyimpan beberapa buah karya lama, khususnya sajak. Setelah beberapa lama, ketika keinginan untuk menghantar karya begitu mendesak di dalam jiwa, akan saya semak karya yang sudah lengkap atau sempurnakan karya yang masih tergantung, dan akan saya kirim ke ruang tertentu.

Kalau saya menghantar karya, mengapa pula tidak muncul karya saya di mana-mana? Itulah juga persoalan yang bermain di dalam benak saya. Saya mengirim puisi saya kepada Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, dan Utusan Melayu Mingguan. Mengapakah karya saya tidak disiarkan? Sekarang, mengikut perkembangan semasa, saya lebih suka mengirim karya melalui e-mel. Cara itu lebih mudah dan jimat. Karya saya itu bukan sahaja tidak disiarkan, malahan tidak pernah e-mel kiriman karya itu dibalas. Oleh itu, saya tidak pasti sama ada karya saya itu sampai atau tidak.

Saya tidak kisah sekiranya karya saya itu dikategorikan sebagai karya yang tidak bermutu atau tidak sesuai untuk disiarkan. Saya pula, semenjak menceburi bidang kreatif ini ketika di bangku sekolah lagi, tidak pernah sekali pun saya mengirim surat susulan atau menelefon editor untuk bertanya tentang karya saya. Sudah tentu jauh sekali saya meminta editor menyiarkan karya saya. Bagi saya, menjadi hak editor untuk menerima atau menolak mana-mana karya saya.

Selain menulis sajak, saya juga menulis syair dan gurindam. Seperti juga sajak, syair dan gurindam juga tidak pernah mendapat tempat dalam sebarang ruang ujana klasik yang disediakan oleh majalah terbabit.

Adakah saya kecewa? Sedetik rasa demikian memang hinggap dalam sanubari. Namun demikian, selalunya untuk seminit dua sahaja. Kalaulah karya disiarkan, sudah tentu memberi semangat untuk terus berkarya. Oleh itu, apabila saya tertunggu-tunggu karya itu tersiar, seperti menunggu buah tidak gugur, saya selalu memujuk hati bahawa karya saya sudak tidak bermakna lagi.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Karya-karya itu bukan tidak bermakna, cuma mungkin masih belum ada ruang untuk disiarkan. Bersabarlah. Selalunya sesuatu yang kita ingini tak akan mudah kita perolehi. Pasti akan melalui berbagai cabaran. Teruskan usaha kerana Allah sesungguhnya maha pengasih lagi maha penyayang ..InsyaAllah, pasti ada karya-karya Mi yang akan disiarkan..

Suhaimi berkata...

Terima kasih. Insya-Allah, itulah yang diharapkan.

Carian