SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 7/6/2012

Kongsi

SEKIRANYA TERDAPAT KEGIATAN SASTERA YANG BAKAL BERLANGSUNG DI TEMPAT SAUDARA, BOLEHLAH BERKONGSI MAKLUMAT DENGAN BLOG INI. HANTAR MAKLUMAT MELALUI E-MEL: saimimsalleh@gmail.com . TERIMA KASIH.

Sekitar SASTERA SEMASA

SAYEMBARA MENDEKLAMASI SAJAK BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU:

Tarikh: 6 Oktober 2012 (Sabtu)
Masa : Mulai 8.00 pagi (Saringan)
Tempat: Perpustakaan Awam Terengganu

Kategori: Terbuka, Pelajar Sekolah Rendah, dan Pelajar Sekolah Menengah.

Pertandingan akhir akan diadakan pada pukul 9.00 malam.

21 Mei 2012

REZEKI KALI KEDUA

SEMENJAK tahun lepas (2011), saya memang teruja untuk menyertai Pertandingan Menulis Sajak Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu. Hal sedemikian tidak berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, malahan saya tidak pernah ambil tahu.

Pada tahun lepas, mungkin disebabkan Cikgu Awang Abdullah (Pui Tiong Gee) bertugas di sekolah saya, sebagai Penolong Kanan Kokurikulum. Beliau menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan minat dan bakat yang sudah tinggal sisa ini. Cikgu Awang selalu menyertai pertandingan, dan hal itu membuka hati saya untuk bertanding dengannya. Beliau mendapat tempat pertama, dan saya menduduki tempat kedua, dengan judul "Salam Untuk Semua". Sajak itu disiarkan dalam Utusan Malaysia keluaran 21 Mei 2012, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu pada tahun ini.

Pada tahun ini, saya tidak lagi bertanding dengan Cikgu Awang. Beliau telah bersara tidak lama selepas Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2011 yang diadakan di Dungun. Oleh itu, saya bertanding dengan diri saya sendiri. 

Dengan judul "Pelayaran Bahtera Pendidikan", saya mengupas tema Hari Guru 2012, "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara", seperti yang disyaratkan. Alhamdulillah, saya memperoleh tempat pertama. Hadiahnya sebanyak RM300.00, disampaikan oleh YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dalam majlis Sambutan Hari Guru di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Selepas dihantar kepada penganjur, apabila saya membaca sajak itu kembali, saya masih tidak berpuas hati. Pada pandangan saya sendiri, banyak kelemahan pada sajak itu.



PELAYARAN BAHTERA PENDIDIKAN



Bahtera pendidikan pertiwi tidak pernah letih
melayari hujung tanjung hingga pedalaman pulau
meski ke perairan kota raya

memungut anak didik pascamerdeka
belayar megah bersulam resah sesekali
abad mutakhir ini selat laluan sarat dengan
lidah taufan tidak terjangka ketika
nakhoda yang tegak di haluan

nafas kerap tersedak oleh gelora perjalanan.


Meski batu beban memberat di bahu ikhtiar
tilam selesa seringnya leka terbiar
minda perlu ligat merangka tindak segar
ladang pendidikan perlukan baja semasa
zat moral dan nutrien agama galak dicerna
suburlah pohon tumbuh mekar berjenama
terpayung watan semua bangsa
terbilang tanah air terpuji sedunia.


Di atas setiap bahtera pendidikan
tabah sasa nakhoda memegang haluan
tidak henti-henti menjana idea terkini
terisi modul inovasi bertunjangkan wawasan
selamat tinggal kaedah musim kelmarin yang bungkam
demi membina aneka manusiawi masa hadapan
senyum senang putera puteri asuhan
asyik riang melayari harapan sirna segala bosan
mengutip peta kehidupan dan mengumpul bekalan
kelak berdikari sejauh zaman.


Demi lonjakan masa muka yang cemerlang
nakhoda tidak boleh pincang
bahtera pun tidak terdampar di batu karang.

 April 2012
Jalan Lapangan Terbang, Dungun.


Tempat kedua dimenangi oleh Noor Laila binti Abdul Hshapar (SMK Renek, Jerteh), dan tempat ketiga dimenangi oleh Wan Zahari bin Wan Ali (SMK Permaisuri Nur Zahirah, Besut).

Tiada ulasan:

Carian