KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

22 Ogos 2011

SEPUCUK SURAT DARIPADA AZIZI HAJI ABDULLAH

INNALILLAH... Itulah sekerat ungkapan suci yang terpacul jelas daripada bibir saya, manakala yang lain tenggelam di dalam tenggorok, apabila isteri saya menyatakan bahawa Azizi Haji Abdullah sudah meninggal dunia semalam. Ketika itu saya sedang berehat di dalam bilik sementara menunggu waktu untuk keluar mengambil anak bongsu saya yang mengikuti Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah rendah yang berdekatan. Dia mendapat tahu hal itu ketika mendengar berita radio tengah hari.

Pada malamnya barulah saya sempat mengikuti beritanya sepintas lalu yang disiarkan dalam Berita Nasional RTM di TV1. Beliau meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada pukul 7.30 pagi selepas menderitai sakit jantung dan mengalami masalah buah pinggang semenjak enam bulan lalu. Berita lanjutnya saya ikuti dalam “Novelis Terkenal Meninggal Dunia” (Berita Harian, 22 Ogos 2011) hari ini.

Dalam ruangan “Belasungkawa” akhbar ini juga (halaman 27), Salbiah Ani menjelaskan bahawa Azizi berkarya mulai tahun 1960, dan telah menghasilkan 30 buah novel dan 200 buah cerpen. Namun begitu, tidak banyak karyanya yang saya baca, khususnya novel dan puisi. Hal ini banyak bezanya berbanding dengan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang lebih banyak saya baca. Antara novelnya yang saya baca ialah Seorang Tua di Kaki Gunung, yang pernah menjadi teks Kesusasteraan Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain Senja Belum Berakhir, Sami Mekong dan beberapa buah lagi. Novel-novel ini tidak saya beli, sebaliknya dipinjam dari perpustakaan sahaja.

Saya lebih suka membaca cerpennya, berbanding dengan novel. Cerpen yang sangat kuat melekat dalam minda saya ialah “Paku Payung Limau Mandarin”. Cerpen ini saya kaji semasa saya mengikuti Diploma Pengajian Tinggi di Institut Bahasa, Kuala Lumpur dahulu. Beberapa buah cerpennya yang lain yang saya baca mempunyai tema dan lenggok garapan yang sama. Namun begitu, saya tidak bosan membacanya kerana unsur kejutan atau saspens yang digunakannya, dan selalunya disudahi dengan cara yang amat mengharukan perasaan. Sering kali jiwa saya tersentuh dengan penamatnya walaupun ceritanya kisah biasa dan disampaikan secara bersahaja.

Tarikh bulan Ogos ini mengingatkan saya terhadap permulaan masa saya aktif menghasilkan karya dahulu. Ketika itu saya belum mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Bahasa (Institut Bahasa). Saya tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi saya pernah menerima sepucuk surat daripada Azizi yang berkhidmat sebagai editor sastera di Mingguan Timur yang diterbitkan di Pulau Pinang. Dalam suratnya itu dia meminta saya agar tidak mengirimkan sajak saya itu kepada penerbit lain kerana dia mahu menyiarkannya. Hal itu terjadi pada bulan Ogos 1983. Malangnya, surat itu sudah tidak ada dalam simpanan saya.

Sajak saya itu, yang amat ringkas, berjudul “Begitu”, memang disiarkan seperti yang dikatakan, iaitu pada 28 Ogos 1983. Kalau tidak silap saya, itulah sajak tunggal saya yang tersiar dalam tabloid tersebut. Seingat saya, saya tidak mendapat apa-apa bayaran untuk penyiaran itu, dan saya pula tidak pernah menuntutnya. Walau bagaimanapun, selepas penyiaran sajak itu, sebuah cerpen saya pula disiarkan. “Parang Panjang” disiarkan dalam akhbar itu pada 28 September 1983. Dengan tempoh sebulan sahaja antara penyiaran puisi dan cerpen itu, saya percaya bahawa editor sasteranya masih Azizi. Untuk penyiaran cerpen ini saya tidak menerima apa-apa surat pemberitahuan, juga tidak menerima apa-apa bayaran, dan saya jua tidak pernah tergerak hendak menuntut bayarannya. Cerpen tersebut juga cerpen tunggal saya yang mendapat tempat dalam akhbar mini tersebut.

Sudah 28 tahun berlalu hal tersebut. Azizi sudah dipanggil Ilahi sebagaimana beberapa orang penulis tersohor kita sebelum ini. Namun begitu, kiriman surat itu saya anggap sebagai satu kenangan manis dan sangat berharga. Seorang penulis kecil yang baru bertatih tiba-tiba mendapat surat daripada penulis sedang membina kemasyhuran karya.

Sudah tentu, bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, saya memanjatkan doa agar Allah mencucurinya rahmat yang berganda dan diletakkan dalam kalangan orang-orang yang dikasihi-Nya.


Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...