KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

8 Mei 2009

SELANGKAH DEMI SELANGKAH

HASRAT hendak menjadi penulis mula berputik pada tahun 1974, ketika saya dalam darjah enam. Hal ini bermula apabila guru Bahasa Melayu, Cikgu Abdullah bin Awang Kechik, yang membawa beberapa naskhah akhbar tabloid kanak-kanak, Utusan Pelajar, terbitan Utusan Melayu (M) pada setiap hari Khamis. Cikgu Abdullah menjual akhbar itu kepada kami dengan harga 20 sen. Cikgu Abdullah kerap menggunakan akhbar itu untuk mengajarkan mata pelajaran itu.

Saya sangat meminati ruangan "Taman Sains", bimbingan Pak Matlob, atau nama sebenarnya Mokhtar Talib. Saya gemar akan cerita sains, lebih-lebih lagi yang bercorak fiksyen sains mengenai peristiwa di angkasa. Karya dalam ruangan itu ditulis oleh beberapa orang penulis tetap ruangan itu, yang menjadi ahli Ahli Kelab Sains (AKS), antaranya Shahidan Md Noh, Mohd Ismail Sarbini, Zailani Taslim, Sri Diah Isma, dan ramai lagi. Ruangan itu mendorong saya untuk menjadi penulis seperti mereka.

Apabila saya berada di sekolah menengah, Sekolah Menengah Kampung Pek (sekarang dinamai SMK Seri Intan), keinginan saya semakin kuat. Dengan dorongan yang kuat itu, saya cuba menulis karya sains berdasarkan bahan berunsur sains yang saya dapatkan daripada buku atau majalah yang saya baca. Saya tulis karya tersebut pada kertas buku latihan sekolah dengan tulisan tangan saya sendiri. Tulisan tangan saya tidaklah cantik, tetapi jelas hurufnya.

Saya mengirim karya itu kepada Pak Matlob berdasarkan alamat yang disediakan dalam ruangannya. Karya awal saya yang disiarkan dalam ruangan ini ketika saya berada dalam tingkatan dua (tahun 1976):

1. "Kilat Mengilat Guruh Gemuruh" (28 Oktober 1976)
2. "Dinding Bercahaya" (18 November 1976).

Karya asal saya itu agak panjang, dalam empat atau lima halaman kertas buku latihan, tetapi yang tersiar hanyalah beberapa perenggan. Tajuknya juga bukan tajuk yang saya cadangkan. Namun demikian, saya sangat berpuas hati apabila karya itu disiarkan. Sekurang-kurangnya usaha saya mendapat perhatian.

Era permulaan saya dapat bertapak sebagai penulis adalah pada tahun 1977. Karya sains saya disiarkan dengan tidak dipotong-potong lagi. Semasa menghasilkan karya dalam "Taman Sains", saya menggunakan nama penuh saya, tetapi sering juga menggunakan nama pena, Ahusma. Pak Matlob, apabila berhubung dengan saya atau memperkatakan hal saya dalam ruangannya itu, sering menggunakan nama pena ini. Saya kemudiannya diterima sebagai Ahli Kelab Sains ruangan itu, iaitu AKS 55.

Tahun 1978 boleh dianggap tahun saya mengorak langkah dengan lebih luas. Mulai tahun itu karya puisi dan cerpen kanak-kanak mula mendapat tempat dalam beberapa buah majalah kanak-kanak.

Mulai 1980 saya mula memasuki dunia "karya dewasa", apabila puisi saya yang lebih bermakna mula disiarkan dalam majalah. Pada tahun itu juga cerpen dan puisi saya disiarkan dalam rancangan sastera di radio, iaitu ruangan "Cerpen" (RTM Kuala Lumpur), "Rampaian Pasukan Keselamatan" (RTM Kuala Lumpur), "Bunga Bangsa" (RTM Kuala Lumpur), "Belia Bergerak Maju" (RTM Kuala Lumpur), "Dari Kampus Ke Kampus" (RTM Kuala Lumpur), "Sudut Sastera" (RTM Kota Bharu, RTM Kuala Terengganu, dan RTM Kuantan), "Rampai Rasa" (RTM Kota Bharu), "Satria Pertiwi" (RTM Kuala Terengganu), dan "Senandung Malam" (RTM Kuala Terengganu).

Mulai tahun 1980 juga saya memasuki genre drama radio pula. Karya saya disiarkan dalam ruangan "Nombor 5 Persiaran 1" (RTM Kuala Lumpur), terbitan Mahani Ujang, "Kiambang Bertaut" (RTM Kota Bharu), dan Puisidra (RTM Kota Bharu dan RTM Kuala Terengganu).

Mulai awal tahun 1981, cerpen saya mula menembusi surat khabar dan majalah lain secara kerap. Demikian juga rencana atau artikel ringan, mula mendapat tempat dalam beberapa buah majalah.

Setakat ini saya berjaya menghasilkan sebuah novel kanak-kanak, "Berkelah Hanya Alasan", yang diterbitkan oleh Penerbitan Penamas, Johor Bahru (1984).

Selain itu, beberapa buah cerpen dan puisi turut dimuatkan dalam antologi, sama ada yang diterbitkan oleh persatuan penulis secara stensilan atau yang dicetak oleh syarikat penerbitan dan diselenggarakan oleh penulis tertentu.




Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...