KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

1 Mei 2009

SEDIKIT TENTANG SAYA


Kelahiran

SAYA dilahirkan di Kampung Temangan Lama pada 5 Disember 1962. Mengikut catatan pada surat beranak saya, kelahiran saya pada pukul 4.30 petang. Kampung saya ini terletak dalam jajahan Machang, di Kelantan. Namun, semenjak kecil, kawasan rumah kelahiran saya itu dikenali sebagai Teluk Choh, dan lebih khusus lagi, dipanggil juga Alur Rambai.

Ayah saya, Mohd Salleh bin Yaacob (arwah: meninggal pada 8 April 2009), berasal dari Kampung Tanjung Pauh, Beris Kubur Besar, Bachok. Ibu saya pula, Sepiah binti Jusoh, yang saya panggil "mek", berasal dari Kampung Pasir Besar, Temangan. Mengikut catatan pada surat beranak saya, saya dilahirkan ketika mek saya berusia 23 tahun.

Adik saya tiga orang. Yang pertama, Azmi, sekarang tinggal di Kota Bharu. Adik yang kedua, Yusmi, menetap di Pasir Gudang, Johor. Adik bongsu saya, Noraini, kini menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Sepatutnya saya mempunyai abang dan seorang adik lain selepas Noraini. Namun, abang saya, mengikut mek namanya Halim, meninggal dunia semasa kecil, sebelum saya dilahirkan. Adik yang meninggal itu meninggal ketika dilahirkan.


Pencapaian Akademik & Ikhtisas

Pendidikan awal saya terima di Sekolah Kebangsaan Temangan, kira-kira dua batu dari rumah saya. Saya memulakan alam persekolahan pada tahun 1969. Saya sudah dapat membaca dengan baik ketika dalam darjah satu lagi. Malahan, saya kerap disuruh oleh guru untuk mengajar rakan-rakan sekelas yang lambat membaca. Namun, keputusan Penilaian Darjah Lima saya yang diduduki pada tahun 1973 (darjah 5) tidak baik, iaitu 4B dan 1C sahaja.

Pendidikan menengah saya peroleh di Sekolah Menengah Kampung Pek (sekarang SMK Seri Intan). Saya menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1977, dan memperoleh Pangkat A, tetapi hanya cukup untuk naik ke tingkatan empat. Oleh sebab SM Kampung Pek tiada tingkatan empat, kami yang lulus dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Machang, yang terletak di Jalan Machang-Kota Bharu. Namun, lebih kurang sebulan di sekolah itu, kami dipanggil kembali ke SM Kampung Pek apabila sekolah itu mewujudkan tingkatan empat.

Pada tahun 1979, saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusannya yang keluar pada tahun 1980 menyaksikan saya memperoleh Pangkat 2, yang melayakkan saya memasuki tingkatan 6. Yang membanggakan saya, hanya saya murid perintis SPM yang berjaya ke tingkatan 6, dan nama saya, mengikut adik-adik saya, selalu disebut oleh guru sekolah itu sebagai murid yang perlu dijadikan suri teladan.

Tingkatan 6 di jajahan Machang pada masa itu hanya dibuka di Sekolah Menengah Hamzah, terletak di Jalan Machang-Pasir Puteh. Pelajar lulusan SPM dari jajahan Kuala Krai turut melanjutkan pelajaran di situ. Saya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1981. Kami merupakan kumpulan terakhir STP yang dikendalikan oleh Universiti Malaya dan Universiti Cambridge, London. Hal ini demikian kerana mulai tahun 1982, peperiksaan itu ditukar nama kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan dikendali sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun, saya hanya memperoleh 2 prinsipal dan 2 subsidiari. Permohonan saya untuk ke menara gading ditolak. Namun, pada tahun 1983, saya mengambil STPM secara persendirian, dan berjaya mendapat 3 prinsipal yang rendah dan 1 lulus separuh.

Pada tahun 1984, saya mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Bahasa (sebelum itu lebih dikenali sebagai Language Institute, atau LI, dan kemudiannya dikenali dengan nama Institut Bahasa). Saya mengkhusus dalam bidang Pengajian Melayu dan Sejarah. Oleh sebab saya bakal menjadi guru, saya tidak memohon masuk ke universiti, bimbang ditolak kerana pada masa itu sangat sukar untuk mendapat tempat di menara gading. Saya tamat pengajian guru pada tahun 1986, dan bertugas di Sekolah Menengah Jengka 10, di Bandar Pusat Jengka, dalam daerah Temerloh, di Pahang. Saya lulus kursus perguran dengan Pangkat Cemerlang, dan dianugeri Pelajar Terbaik Akademik Pengajian Melayu. Berita kecemerlangan saya itu disiarkan dalam Berita Minggu, 18 Oktober 1987, bersama-sama dengan gambar.

Pada tahun 1993, selepas hampir enam tahun bertugas di Jengka 10, saya mendapat tawaran mengikuti Program Kembar IB-Universiti Malaya. Saya meninggalkan SM Jengka 10, masuk program prakampus selama setahun di IB, maktab asal saya. Mulai tahun 1994 hingga 1998, saya mengikuti kursus Rancangan Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dengan pengkhususan dalam Bahasa Melayu. Keputusannya, saya memperoleh sijil Kelas Pertama, dan mendapat Hadiah Buku Universiti. Selepas keluar dari Universiti Malaya (1998), saya ditugaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, di bandar Dungun, Terengganu, hingga sekarang.


Keluarga Sendiri

Saya membentuk keluarga sendiri pada 1 Mac 1990. Teman hati yang saya pilih ialah Sabariah Nor binti Salleh, setahun lebih muda daripada saya, yang berasal dari Kemaman, Terengganu, tetapi sudah lama menetap di Dungun. Beliau seorang penulis yang prolifik di Dungun, dan dikenali dalam kalangan rakan-rakan saya yang menjadi penulis di Kelantan. Sabariah merupakan salah seorang daripada peminat hasil karya saya. Kami sering berutus surat, dan pertemuan pertama berlaku ketika Hari Sastera pada tahun 1985, di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Kini kami memiliki tiga orang cahaya mata, iaitu Suzati (lahir: 1990), Syafiq Hakimi (lahir: 1993), dan Syahida Athirah (lahir: 2000). Suzati mengikut jejak saya sebagai guru dengan mengikuti kursus perguruan di Institut Perguruan Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru mulai 2008.


























Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...