KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

28 Jun 2011

PANTUN YANG BUKAN PANTUN...?




SAYA menemukan sebuah buku pantun bersaiz kecil, Pantun Moden Yupin & Yipin. Buku ini nipis sahaja, mengandungi 16 halaman dengan 42 buah pantun yang berunsur nasihat dan pendidikan moral.


Namun demikian, terdapat 16 buah pantun yang tidak memenuhi ciri pantun yang sebenar. Mari kita teliti beberapa contoh pantun tersebut.


1.

Kanak-kanak suka bertanya,

Bertanya pula kepada Cik Nyonya;

Mukmin yang paling sempurna imannya,

Mereka yang baik budi pekertinya.


2.

Beli gula berkati-kati,

Bawa berjalan berhati-hati-hati;

Jika mahu iman subur di hati,

Elakkan takbur, hasad dan dengki.


3.

Membeli keli, sepat dan haruan,

Hendak dijual di pangkalan;

Merangkak tetapi sampai ke haluan,

Lebih baik dari berlari putus di tengah jalan.


4.

Pergi berdayung ke Pulau Jerjak,

Sambil berdayung membawa tajak;

Berfikir selalu perbuatan baik,

Merancang dengan baik lebih bijak.


5.

Tanam nangka tumbuh kelapa,

Terbit bunga cina mati;

Budi sedikit kubawa mati,

Harta yang tinggal habuan orang.


Saya tidak akan membincangkan hal isinya, tetapi akan memperlihatkan ketidakpatuhan akan ciri binaan pantun yang sebenar.


Pantun 1, 2, dan 3 menggunakan rima akhir a-a-a-a, kerana diakhiri dengan bunyi yang sama, sama ada vokal atau konsonan. Hal ini tidak menepati rima pantun yang sepatutnya bersifat a-b-a-b, iaitu berselang.


Selain rima, baris akhir pantun 3 sangat panjang kerana dibina dengan 16 suku kata, sedangkan jumlah yang tepat ialah lapan hingga 12 sahaja.


Rima akhir pantun 4 dan 5 lebih kacau. Pantun 4 berimakan a-a-b-a, manakala pantun 5 berimakan a-b-b-c.


Buku ini dibeli oleh anak saya yang ketika itu baru berusia hampir 11 tahun. Dengan kesilapan besar yang berlaku itu, buku ini boleh menyebabkan anak saya dan anak-anak lain mendapat gambaran yang salah.


Perkataan "moden" yang digunakan dalam judul buku itu tidak boleh menjadi permit untuk penulisnya mengubah struktur atau fizikal puisi tradisional itu sewenang-wenangnya. Kita boleh mengubah pendekatan isi supaya sesuai dengan suasana moden sekarang, namun tidak wajar menjadikan pantun sebagai puisi moden.


Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...