KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

31 Mei 2011

"SALAM SEMUA WARGA" MENANG

SAYA menyertai Pertandingan Menulis Puisi Hari Guru Negeri Terengganu 2011 anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Sebuah sajak yang dibangunkan dengan 33 baris, yang saya judulkan "Salam Semua Warga", saya hantar melalui e-mel.

Sajak itu, walaupun untuk sayembara bersempena dengan sambutan Hari Guru, temanya tentang 1 Malaysia. Saya dapati daripada beberapa tema yang ditetapkan untuk pertandingan itu, tema itulah yang paling mudah untuk digarap. Saya sedang kesuntukan masa untuk mencanai makna beberapa tema lain, lalu cara yang paling mudah, saya memilih tema itu. Bagi saya, temanya tidak penting, tetapi yang mustahak, saya dapat menyiapkannya.

Saya tidaklah berpuas hati sangat akan hasilnya. Saya rasakan banyak kelemahan tertonjol dalam sajak itu. Namun demikian, saya bertekad untuk menghantarnya. Menang atau kalah bukan persoalannya. Sekiranya saya menang, saya akan naik ke pentas menerima hadiah semasa acara sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun pada 26 Mei 2011 nanti.

Saya e-melkan sajak itu dua minggu sebelum tarikh tutupnya. Dengan penghantaran itu, saya tidak memikirkan lagi hal sajak itu. Saya hanya menunggu keputusannya. Pada 24 Mei 2011, saya menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali bin Daud. Saya diminta mendaftar sebagai penerima anugerah pada 26 Mei 2011. Saya mendapat hadiah kedua, manakala hadiah pertama dimenangi oleh rakan sekerja, Encik Awang bin Abdullah, Guru Penolong Kanan Kokurikulum di sekolahku. Semasa Perhimpunan Khas pada pagi itu, Pengetua Kanan, Encik Abdul Rahman bin Husin mengumumkan hal itu. Dia juga telah menyebutkan hal itu ketika Mesyuarat Guru Kali Ketiga pada hari sebelumnya.

Pada hari tersebut, pukul 9.45 pagi, saya mendaftar seperti yang diarahkan. Tempat untuk penerima pelbagai kategori hadiah dan anugerah telah ditetapkan. Nama penerima dan kategori hadiah dilekatkan pada bahagian sandaran kerusi.

Pemenang kategori puisi rupa-rupanya menjadi kumpulan pertama menerima hadiah. Oleh itu, saya menjadi orang kedua menerima hadiah daripada YAB Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad bin Said, selepas Awang bin Abdullah. Sebelum menyerahkan hadiah yang berupa sijil dan wang tunai RM150.00, YAB Menteri Besar bertanyakan tajuk sajak itu. Saya yang tidak bersedia agak lambat menjawab soalannya kerana saya terlupa tajuk sajak itu. Saya hanya menjawab "Salam Untuk Guru" beberapa saat kemudian, yang keluar secara spontan. Tajuk sajak saya yang sebenarnya ialah "Salam Semua Warga". Selepas bersalam dan menerima hadiah itu, saya terus bergerak turun tanpa bersalam dengan Pengarah Pelajaran Terengganu dan Ahli Majlis Kerja Kerajaan Terengganu yang berdiri mengiringi Menteri Besar.

Selain sajak yang menang itu, sebuah sajak lain, "Sangat Kutahu" disiarkan dalam ruangan khas tentang Hari Guru Terengganu dalam Utusan Malaysia hari itu. Sajak itu diminta oleh Ketua Biro Utusan di Kuala Terengganu, Encik Wan Zulkifli Wan Yaacob seminggu sebelum itu. Saya yang tiada naskhah puisi baharu tentang guru mencari karya lama yang tidak disiarkan dan membaikinya. Pada Hari Guru itu naskhah akhbar tersebut serta Berita Harian dan akhbar Inggeris diedarkan secara percuma dalam majlis itu.

Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...