KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

15 Mac 2024

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untuk memberi nasihat secara halus.
.
Sebuah gurindam saya telah disiarkan dalam Dewan Budaya, Julai 2023.
.

GURINDAM ORANG BERHEMAH

Orang berhemah meskipun betul
tidak dianggapnya orang lain biul.

Orang berhemah mesra bermaaf
sebaik sedar berlaku khilaf.

Orang berhemah mudah bersantun
kalau orang memohon ampun.

Orang berhemah cukar mencaci
meskipun mungkin berasa benci.

Orang berhemah memberi pandangan
penuh jujur menyatakan kebenaran.

Orang berhemah jiwanya terbuka
sungguhpun pendapatnya tidak diterima.

Orang berhemah menolak dengan sopan
kalau tidak dapat memenuhi permintaan.

Orang berhemah timbang berkali-kali
sekiranya diminta untuk berjanji.

Orang berhemah jika mendapat banyak
tidak sekali-kali menjadi tamaj.

Orang berhemah kekal tenang 
biarpun diasak serangan kencang.

Orang berhemah suri teladan
menjadi panduan untuk kehidupan.

Demikianlah ciri orang berhemah
sopan santunnya tidak pernah lemah.


SUHAIMI MOHD SALLEH,
Dungun, Terengganu.

Gurindam, apabila dilagukan, sangat indah bunyinya. Puisi ini harus lebih didedahkan kepada umum melalui siaran media elektronik, khususnya radio dan televisyen. Lebih berkesan jika diadakan sayembara gurindam: mencipta dan melagukannya.




.
.
.
.

21 September 2023

SETELAH 11 TAHUN BERLALU...

SAYA kembali!

Sudah lama saya meninggalkan blog tentang penglibatan saya dalam penulisan kreatif ini kerana memberikan tumpuan tentang tugas. Kali terakhir saya menghantar pos adalah pada 29 Disember 2012. Sebelas tahun dahulu!

Hari ini saya mengingati blog ini dan mahu kembali. Alangkah susahnya untuk masuk semula ke dalam blog ini setelah sekian waktu meninggalkannya. Blog ini masih dapat dibuka dengan mudah, tetapi untuk menyuntingnya, saya memerlukan kata laluan. Kata laluannya ada saya simpan, tetapi apabila menggunakannya, Google menyatakan bahawa kata laluan itu salah. Saya terpaksa membina kata laluan baharu. Alhamdulillah, dapat!


29 September 2012

PELITA MENDAPAT PENERAJU BAHARU

PERSATUAN Sasterawan Terengganu (PELITA) hari ini memilih ketua baharu apabila Ketua Satu, Haji Tuan Shariff bin Tuan Putera (Shariff Putera) melepaskan jawatannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43. Beliau mengumumkan pengundurannya semasa merasmikan mesyuarat tersebut yang diadakan di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.

24 September 2012

PEMILIHAN JAWATANKUASA PELITA 2012-2014 SABTU INI

PERSATUAN Sasterawan Terengganu (PELITA) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-43 pada hari Sabtu, 29 September 2012 ini. Mesyuarat tersebut akan diadakan di Hotel YT Midtown, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu yang bermula pada pukul 10.00 pagi. Mesyuarat kali ini akan mengadakan pemilihan jawatankuasa tadbir baharu untuk mengendalikan persatuan untuk tempoh 2012 hingga 2014.

Mengikut Fasal 12.3.3 Perlembagaan PELITA, kawasan Kemaman, Dungun, dan Hulu Terengganu, yang telah didaftarkan, berhak untuk menghantar 10 orang perwakilan ke mesyuarat agung ini.

Jawatankuasa tadbir yang akan dipilih terdiri daripada seorang Ketua I, seorang Ketua II, seorang Setiausaha I, seorang Setiausaha II, seorang Bendahari, lapan orang Ahli Jawatankuasa, dan dua orang Pemeriksa Kira-kira.

Pada sesi ini, PELITA ditadbir oleh Tuan Haji Shariff Putera sebagai Ketua I, dengan dibantu oleh Tuan Haji S.M. Noor sebagai Ketua II, Sdr Abdul Mubin Ismail sebagai Setiausaha I, dan Sdr Mohd Azhar Su sebagai Setiausaha II, manakal Puan Mahanie Sulong sebagai Bendahari.

Ahli yang belum lagi membayar yuran tahunan dikehendaki untuk berbuat demikian pada hari tersebut.

Sebelum mesyuarat bermula, PELITA akan mengadakan Bicara Proses Kreatif yang akan menampilkan dua orang novelis prolifik PELITA, Sdri Indah Hairani dan Sdri Aznita Aruzi.

7 Jun 2012

PANTUN NILAI MURNI

SEPANJANG bulan Mei lalu, radio Klasik Nasional menganjurkan Pertandingan Mengarang Pantun Empat Kerat dengan Lima Rangkap Bertemakan Nilai-nilai Murni. Sekali lagi saya menyertai pertandingan ini. Lima rangkap pantun itu saya kirimkan melalui pos kepada penganjur seminggu sebelum tarikh tutup pada 31 Mei 2012.

21 Mei 2012

REZEKI KALI KEDUA

SEMENJAK tahun lepas (2011), saya memang teruja untuk menyertai Pertandingan Menulis Sajak Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu. Hal sedemikian tidak berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, malahan saya tidak pernah ambil tahu.

3 April 2012

MASIH BERKARYA, TETAPI TIDAK DISIARKAN

SUDAH lama benar karya saya tidak mengisi mana-mana ruang akhbar atau majalah. Beberapa orang kenalan sesekali bertanyakan hal itu melalui ruang Facebook. Kali terakhir karya saya menemui pembaca hanyalah sebuah sajak, "Sangat Kutahu", disiarkan dalam Utusan Malaysia. Sajak itu sebenarnya sebuah sajak khas untuk Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2011. Kebetulan sambutan itu diadakan di Dungun, maka Sdr Wan Zulkifli Wan Yaakub, meminta saya menulis sajak itu.

22 Ogos 2011

SEPUCUK SURAT DARIPADA AZIZI HAJI ABDULLAH

INNALILLAH... Itulah sekerat ungkapan suci yang terpacul jelas daripada bibir saya, manakala yang lain tenggelam di dalam tenggorok, apabila isteri saya menyatakan bahawa Azizi Haji Abdullah sudah meninggal dunia semalam. Ketika itu saya sedang berehat di dalam bilik sementara menunggu waktu untuk keluar mengambil anak bongsu saya yang mengikuti Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah rendah yang berdekatan. Dia mendapat tahu hal itu ketika mendengar berita radio tengah hari.

28 Julai 2011

MALANGNYA, MALANGNYA!

UMUM kalangan penulis dan peminat buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengetahui bahawa penerbit swasta, Dawama, yang diberi tugas menerbitkan dan memasarkan buku dan majalah kelolaan DBP semenjak 2002 tidak mampu memasarkan banyak buku terbitannya. Sebagai akibatnya, buku yang dicari sukar didapati, tetapi dikatakan berlapuk di stor kerana tidak dipasarkan. Hal ini disebut banyak kali dalam pelbagai pertemuan. Namun demikian, masalah itu terus berlanjutan menjadi masalah yang menjelikkan.

28 Jun 2011

PANTUN YANG BUKAN PANTUN...?




SAYA menemukan sebuah buku pantun bersaiz kecil, Pantun Moden Yupin & Yipin. Buku ini nipis sahaja, mengandungi 16 halaman dengan 42 buah pantun yang berunsur nasihat dan pendidikan moral.

31 Mei 2011

"SALAM SEMUA WARGA" MENANG

SAYA menyertai Pertandingan Menulis Puisi Hari Guru Negeri Terengganu 2011 anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Sebuah sajak yang dibangunkan dengan 33 baris, yang saya judulkan "Salam Semua Warga", saya hantar melalui e-mel.

18 April 2011

PERTEMUAN DENGAN DBP WILAYAH TIMUR

PERTEMUAN berlangsung pada 12 APRIL 2011 (Selasa) - 2.30 - 4.30 petang, di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.

Saya hadir kerana dijemput sebagai Munsyi Dewan. Rupa-rupanya turut dijemput oleh DBP Wilayah Timur (DBPWT) ialah beberapa orang penulis Terengganu, Ketua I PELITA, wakil RTM Terengganu, wakil Muzium Terengganu, dan wakil Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Terengganu. Turut bersama dengan pengarahnya, Encik Azmi bin Ibrahim, ialah Puan Ariza Hj. Che Ismail (Unit Penerbitan), Puan Basirah Arifin (Unit Bahasa), dan Encik Sharrul Rizal Hashim (Unit Sastera), dan Encik Wan Mohd Helmy Wan Hussin.

DBPWT membentangkan program ketiga-tiga unit untuk tahun 2011. Di samping itu, majlis mendengar rintahan para penulis tentang kesukaran menerbitkan buku dan mendapatkan buku yang sudah diterbitkan. Munsyi Dewan juga berharap DBP dapat meneruskan latihan dan pemantapan ilmu bahasa kepada mereka seperti yang selalu dilakukan oleh Puan Hajah Zaiton dan Puan Atiah sebelum ini, selain menyediakan kurikulum yang standard untuk urusan penataran ilmu oleh Munsyi Dewan kepada orang dan agensi awam dan swasta.

DBPWT juga mahu menerbitkan Direktori Penulis Pantai Timur Jilid II tidak lama lagi. Biodata harus dihantar kepada DBPWT bersama-sama dengan sekeping gambar ukuran pasport.

11 April 2011

USAHA MENGGERAKKAN PELITA DUNGUN

PADA 11 April 2011 (Isnin, 9.30 malam), beberapa orang penulis dan penggiat sastera di Dungun berkumpul di Restoran Nang, di belakang Public Bank. Selain saya (Naib Pengerusi Pelita Dungun) dan isteri, yang lebih awal hadir ialah Awang Abdullah, Ayob Mamat (Pengerusi Pelita Dungun), dan Zaini Kusin, kemudian hadir beberapa orang lagi, termasuk Anuar Ibrahim.


Perjumpaan itu diatur untuk menggerakkan Pelita Cawangan Dungun yang telah ada ahli jawatankuasa, tetapi tidak dapat bergerak kerana kelemahan yang wujud. Pelita Dungun ibarat hidup segan mati tak mahu. Saya sebagai Naib Pengerusi juga lemah, kerana saya tidak berminat dalam hal pengurusan dan pentadbiran, ditambah lagi dengan ahli jawatankuasa tertinggi lain yang juga menyepi.


Awang Abdullah yang akan bersara daripada bidang pendidikan pada Jun ini dan Anuar Ibrahim, bekas Pengetua SMK Kampung Nyior dan bekas Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berhasrat untuk memerkasakan Pelita dengan gabungan penulis, penggigat dan peminat sastera dan budaya lain secara bersepadu.


Dalam pertemuan tersebut, Anuar Ibrahim dipilih sebagai Pengerusi, Awang Abdullah sebagai Naib Pengerusi, dan ditentukan juga Setiausaha dan Bendahari. Saya isteri dan beberapa orang lain diletakkan dalam ahli jawatankuasa. Saya menolak diletakkan dalam AJK tertinggi kerana merasakan tidak mampu untuk bergerak cergas. Tugasan keguruan menjadikan saya amat sibuk akhir-akhir ini. Oleh itu, saya lebih selesa menjadi penyokong sahaja.


Saya sangat bersetuju Pelita Dungun segera ditadbirkan oleh kepimpinan baharu. Selain saya yang tidak mampu bergerak cergas, Ayob juga yang tinggal di Kuala Terengganu, sudah menyatakan keinginan mengundur diri. Biarlah Pelita kembali kepada kegemilangannya dalam tahun 1970-an dahulu.

26 Februari 2011

DIALOG DENGAN EDITOR MAJALAH DEWAN

SEMALAM (Jumaat, 25 Februari 2011) saya dan isteri, Sabariah Nor Salleh, mengikuti program Dialog Editor Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat dengan Penulis Terengganu. Program diadakan di Dewan Teratai, tingkat 4, Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu. Program yang dijadualkan bermula pada pukul 4.00 petang itu dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT)dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
.
Dialog bermula lewat daripada waktunya kerana kedua-dua editor majalah terbitan DBP itu baru tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 4.00 petang dari Kuala Lumpur. Oleh sebab bandar raya Kuala Terengganu mulai sibuk dan jalan raya sesak ketika itu sebagai akibat daripada adanya Jom Heboh anjuran TV3 di Dataran Syahbandar, dan malamnya ada perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak jauh dari situ, kedua-duanya lewat tiba di tempat majlis diadakan.
.
Editor Dewan Sastera ialah Puan Rozninah binti Abdul Azid, yang juga Editor Kanan Bahagian Majalah, manakalah Editor Dewan Masyarakat ialah Encik Mohd Shukri dan Mohd Ariff. Majlis dipengerusikan oleh Ketua 1 Pelita, Tuan Haji Tuan Shariff bin Tuan Putera. Pengacara majlis ialah Bendahari Pelita, Puan Mahanie binti Sulong.
.
Sebelum majlis bermula, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan temu ramah dengan Tuan Haji Tuan Shariff Putera, Encik Norhisham Mustafa, Encik Marsli S.O. dan Encik Mazlan Manan, penulis skrip drama televisyen.
.
Ketika membuka sidang, Puan Rozninah menyatakan rasa terkilannya kerana tidak banyak karya daripada penulis Terengganu yang diterimanya. Beliau tidak pasti hal itu terjadi sama ada kerana penulis mapan sudah berhenti menulis atau penulis baharu sudah semakin kurang di Terengganu. Sebaliknya, beliau menerima banyak karya daripada penulis dari Kelantan.
.
Menurut Puan Rozninah, antara faktor yang menyebabkan karya puisi atau cerpen ditolak ialah karya tersebut mengemukakan tema lama, biasa, dan klise, yang tidak mempunyai pemikiran baharu atau falsafah yang dapat dijadikan renungan dan penilaian oleh pembaca. Karya sedemikian lazimnya tidak berdasarkan isu semasa. Selain itu, karya yang mempunyai unsur sensitif yang ketara, tanpa berlapik dengan perlambangan yang sesuai, juga tidak mendapat tempat. Menurutnya lagi, karya seharusnya tidak mengemukakan satu idea sahaja yang dapat digarap secara mantap dan meyakinkan. Hal yang sangat ditekankan bagi pemilihan puisi ialah kesan estetika. Puisi yang berkesan ialah puisi yang mengungkapkan perkataan yang puitis dan segar.
.
Encik Mohd Shukri pula, dalam masa yang sangat terbatas, menjelaskan bahawa Dewan Masyarakat memerlukan esei ilmiah yang kuat dan dapat dipertanggugjawabkan, yang selalunya diiisi oleh penulis akademik dari pusat pengajian tinggi. Oleh itu, beliau meminta penulis Terengganu mengirim esei kepada majalah Dewan Budaya, khusus mengenai kebudayaan dan kesenian di Terengganu. Karya yang dikirim hendaklah menggunakan fon Arial saiz 12 sepanjang 6 hingga 8 halaman.
.
Majlis dihadiri oleh tidak sampai 30 orang penulis, termasuk ahli jawatankuasa Pelita. Namun begitu, turut hadir ialah Norhisham Mustafa dari Kelantan, Marsli S.O. dari Pahang, serta Maroof Seman dan Hilmi Rindu yang sekarang bertugas di Kelantan, selain Sharull Rizal Hashim, Ketua Unit Sastera DBPWT.
.
Majlis berakhir hampir pukul 6,30 petang dengan minum petang. Kedua-dua editor akan ke Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Kuala Berang pagi esok untuk mengadakan bengkel di sana.
.

17 Februari 2011

AHLI PELITA YANG LONGLAI

JUMAAT lalu, 11 Februari 2011, saya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) Sesi 2010-2012 di pejabat Pelita, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Ini mesyuarat jawatankuasa kerja kali kedua. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 3 Oktober 2010.
.
Dalam mesyuarat itu, antara lain, meluluskan dua orang ahli baharu dari Dungun yang saya serahkan borang permohonan mereka lama dahulu. Memang Pelita Cawangan Dungun mempunyai ahli yang ramai berbanding dengan cawangan lain, tetapi keaktifan mereka dalam kegiatan berkarya dan berpersatuan sangat rendah. Bolehlah kita ibaratkan hidup segan mati tak mahu. Saya tidak mahu melihat orang lain, kerana pena saya dan isteri juga sudah lama tergantung.
.
Hal keaktifan pergerakan persatuan dan penyertaan ahli ini sudah lama membelenggu Pelita, malahan rasanya dialami juga beberapa persatuan penulis lain di Malaysia. Pelita mempunyai ahli seumur hidup yang ramai, termasuk saya dan isteri, tetapi dalam perjumpaan dan mesyuarat agung, tidak ramai kalangan ahli seumur hidup ini hadir. Mesyuarat Agung Pelita sesi sebelum ini pernah ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum. Hal ini amat menyedihkan, malahan sangat memalukan.
.
Hal ini terjadi mungkin masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Namun, realiti yang tidak mungkin dapat kita nafikan ialah kesungguhan dan komitmen tentang bidang penulisan dalam kalangan ahli sekarang semakin berkurangan. Aktiviti kesusasteraan tidak memberikan pulangan komersial, semata-mata memberi kepuasan diri kepada yang berminat. Dengan hal yang demikian, aktiviti kreatif ini terketepi.
'
Sehubungan dengan hal itu, dalam mesyuarat itu juga ada disinggung tentang mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang semakin pupus di sekolah. Kalau ada pun sekolah yang masih mengekalkan subjek itu pada peringkat SPM, hanyalah diberi kepada pelajar dalam golongan yang daif, iaitu yang menduduki kelas yang hampir ke belakang dari segi pencapaian akademik. Hal ini memang tidak wajar kerana mata pelajaran kesusasteraan menuntut pemahaman dan daya pemikiran kreatif yang tinggi untuk mentafsir karya. Untuk memberi nilai yang tinggi kepada subjek itu, seharusnya subjek ini diambil oleh pelajar yang berkemampuan dari segi pemikiran. Subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat STPM juga sudah dilupakan di sekolah di Terengganu.
.
Kesediaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu untuk mengadakan bengkel penulisan puisi dan cerpen untuk pelajar dari seluruh Terengganu memang dialu-alukan. Tahniah kepada Tuan Haji Suhaimi bin Zakaria, AJK Pelita yang sedang berkhidmat di PPD Setiu kerana mengambil inisiatif dan risiko ini. Kita harus menyebarkan kenikmatan bersastera kepada generasi muda supaya kehebatan dunia penulisan era 70-an dan awal 80-an dahulu semarak kembali.
.

24 April 2010

PANTUN SENI BUDAYA PUSAKA BANGSA

.
PADA bulan Mac lalu, Radio Malaysia Klasik Nasional sekali lagi mengadakan pertandingan menulis pantun. Temanya ialah "Seni Budaya Pusaka Bangsa". Saya mengetahui hal itu ketika tarikh tutupnya, 30 Mac 2010, tinggal tidak sampai dua minggu sahaja lagi. Saya bertekad untuk menyertainya.
.
Pada kali ini, pantun yang perlu dicipta hendaklah pantun berkait. Dalam pembinaan pantun jenis ini, baris kedua rangkap dan baris keempat rangkap pertama hendaklah digunakan sebagai baris pertama dan baris ketiga rangkap kedua. Penganjur mensyaratkan peserta menyertakan empat rangkap. Bagi saya, pembinaan pantun berkait lebih rumit daripada pantun yang tidak berkait. Nasib baik pantun yang dikehendaki hanyalah pantun empat kerat. Sekiranya diminta pantun enam kerat, semakin rumit untuk menciptanya.
.
Setelah puas pening kepala memikirkan binaan dan garapan yang baik, akhirnya saya dapat mencipta empat rangkap yang berikut.
.
.
Berbuah betik di pinggir bendang,
Pisang rastali beli di Purun;
Songket, batik, samping dan selendang,
Tenunan asli turun-temurun.

Pisang rastali beli di Purun,
Singgah sekawan merpati muda;
Tenunan asli turun-temurun,
Halus menawan bandingan tiada.

Singgah sekawan merpati muda,
Galak berjemur di tepi baldi;
Halus menawan bandingan tiada,
Pusaka tutur, laku dan budi.

Galak berjemur di tepi baldi,
Mandi di telaga di dalam taman;
Pusaka tutur, laku dan budi,
Diamal dijaga sepanjang zaman.
.
Saya pada dasarnya berpuas hati dengan ciptaan itu, tetapi saya masih beranggapan bahawa banyak kekurangan ciptaan tersebut. Saya bimbang hakim yang dipertanggungjawabkan menilai pantun akan melihat ciptaan dari sudut lain yang lebih terperinci.
.
Pantun itu saya poskan beberapa hari sebelum tarikh tutup yang asal. Selepas itu, saya dapati penganjur melanjutkan tarikh tutupnya kepada 10 April 2010. Sehingga ini, saya tidak pasti keputusannya sudah diumumkan atau tidak. Saya juga tidak berkesempatan mendengar bacaan pantun yang menyertainya kerana waktu siarannya yang tidak menentu.
.

18 November 2009

PANTUN BAHASA JIWA BANGSA

BULAN Oktober lalu, Radio Klasik Nasional dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan Pertandingan Mencipta Pantun yang bertemakan "Bahasa Jiwa Bangsa".
.
Sebelum ini saya terlepas untuk menyertai pertandingan anjuran Klasik Nasional yang bertemakan "Budi Bahasa Amalan Mulia", "Kayu dan Perabot Malaysia" dan "1 Malaysia". Oleh itu, saya tidak mahu terlepas lagi pada kali ini. Dalam kesibukan demi kejayaan pelajar 6 Atas untuk menghadapi STPM, dan pada masa yang sama saya diminta oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Awang Abdullah agar mengharmonikan pantun pelajar yang menyertai Pertandingan Karya Seni Kreatif 1 Malaysia anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNB), saya mencari waktu mencipta pantun tersebut.
.
Pertandingan itu memerlukan peserta mencipta empat rangkap pantun empat kerat dan dikirim melalui pos atau faksimile. Saya tidak gemar menghantar karya melalui kedua-dua kaedah itu, kerana lebih selesa menggunakan e-mel, yang ternyata lebih cepat dan tidak perlu menggunakan kertas dan setem, tetapi terpaksalah juga mengirimnya melalui pos dengan setem 50 sen, walaupun agak terbatas masa untuk singgah di Pejabat Pos Dungun.
.
Maka saya pun menghantar rangkaian pantun yang berikut:
.
.
Bahasa Jiwa Bangsa
.
Ikat jerami muat ke kandar,
Selepas makan mandi di telaga;
Ucap difahami wasangka terhindar,
Bahasa kebangsaan penyatu warga.
.
Batang halban dibawa ke huma,
Hendak dirikan sebuah taman;
Bahasa kebangsaan milik bersama,
Kita ungkapkan sepanjang zaman.
.
Terbang tempua ke semak berduri,
Singgah sekali di pohon rumbia;
Bahasa kita lambang jati diri,
Tidak rugi berbahasa Malaysia.
.
Berbanjar cemara di tanah rata,
Tempat teduhan sekumpulan murai;
Segar dan mesra bahasa kita,
Anugerah warisan usah terburai.
.
Oleh sebab sehingga tarikh tutupnya pada akhir Oktober dan lanjutan penyertaan dibuka pula sehingga 8 November, saya tidak mendengar pantun saya dibaca oleh juruhebah Klasik Nasional, lalu saya menganggap karya saya tidak melepasi saringan awal, saya pun mencipta satu set lagi, dan dikirim dengan setem pos 30 sen sahaja.
.
.
Bahasa Jiwa Bangsa (2)
.
Riuh nelayan memunggah pelata,
Beli seraga dibawa pulang;
Bahasa kebangsaan jiwa kita,
Jati diri warga gampak cemerlang.
.
Busut di hutan sarang kelekatu,
Angsana tumbang terkejut tempua;
Berbahasa kebangsaan saban waktu,
Makin berkembang ke serata benua.
.
Dari Benta ke Kota Gelanggi,
Singgah di Jengka membeli toman;
Bahasa kita martabatnya tinggi,
Lingua franca zaman-berzaman.
.
Sepohon celagi lanjut usia,
Tempat istirahat ayam jantan;
Tidak rugi berbahasa Malaysia,
Warga erat sejahtera watan.
.
Pada 8 November 2009, pertandingan tamat. Juruhebah mengumumkan bahawa keputusannya tidak lama lagi. Saya tidak mengendahkan hal itu kerana menganggap bahawa penilaiannya tentu memerlukan masa satu atau dua minggu.
.
Namun, pada 11 November 2009, lebih kurang pukul 10.05 malam, Cikgu Ahmad Lotfi menelefon saya dengan memberitahu bahawa nama saya disebut memenangi pertandingan yang dia kurang pasti tetapi melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya mengagak tentulah keputusan pertandingan itu. Saya pun mengikuti siaran Klasik Nasional. Beberapa minit sebelum pukul 11.00 malam, juruhebah yang bertugas membuat pengumuman keputusan itu. Saya mendapat hadiah sagu hati, dan disebut mula-mula sekali. Selain saya, Cikgu Zamzurainu Zahari juga menang hadiah sagu hati. Hadiah sagu hati bernilai RM100.00 setiap satu.
.
Tidak sangka rupa-rupanya rezeki saya masih ada. Namun, saya tidak pasti set pantun yang berjaya itu. Ketika jamuan sempena Majlis Anugerah Kokurikulum SMKSO pada tengah hari 12 November 2009 (hari Khamis), saya mengesahkan hal itu dengan Cikgu Ahmad Lotfi. Pengetua, Cikgu Abdul Rahman Husin, yang ada bersama, apabila mendapat tahu hal itu, mengucapkan tahniah kepada saya.
.

7 Julai 2009

PERSATUAN PENULIS: MEMBUKA RUANG MINDA



SEPANJANG tempoh terlibat dengan dunia penulisan, saya menyertai empat buah persatuan penulis. Bermula dengan Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK), diikuti Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Kelab Sastera DBP, dan sehingga kini saya terlibat dengan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).
.
1.
RUMPUN SENI MELAYU KELANTAN
.
Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK) diterajui oleh Wan Asri bin Wan Mat, seorang juruhebah di Radio Malaysia Kota Bharu. Saya tidak pasti tarikh penubuhan persatuan itu, tetapi saya terlibat sekurang-kurangnya dengan empat aktiviti besar mulai tahun 1982.
.
Penyertaan pertama saya ialah mengikuti Majlis Taman Seni di Kem Kijang, dekat Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kota Bharu, pada 18-19 Jun 1982. Saya masih ingat, bapa saudara saya yang bongsu sebelah ibu, Che Ali, yang saya panggil pak su, menghantar saya dengan motosikal Honda, DE 4865 ke Kem Kijang, dan apabila selesai, dia datang mengambil saya.
.
Dalam majlis itu, saya mengikuti ceramah daripada beberapa orang penulis yang sudah mempunyai nama, antaranya Norhisham Mustafa. Dalam sesi itu, saya ada bertanya satu soalan kepada Norhisham tentang cerpennya yang dimuatkan dalam sebuah antologi yang diterbitkan oleh Kumpulan Tra-Tra. Pada waktu malam, walaupun majlis berakhir pada jam 11.30 malam, kami tetap berbicara tentang penulisan sehingga pukul 2.00 pagi. Saya bertemu dengan ramai penulis muda yang sudah berjaya dan yang masih merangkak seperti saya. Antara yang masih saya ingat ialah Wan Zulkifli Wan Yaacob, Ezana Mat Zin, Rohani Mat Zin (Arniey A.M.), Irza Daud, Azmi Taib, Zainal Abidin Muhammad, Maryam Hussin, Rosli Mohd Nor, Kamaruzzaman Hj. Yusoff (sekarang pelakon drama televisyen), Faridah Daud, Fatihah Yusuff, Nur Din Zakaria, Nik Mohd Zahid Yusuf, Awang Omar Ali (Arma S), Ezani Daud, dan ramai lagi.
.
Hasil daripada majlis itu, saya berjaya menghasilkan sebuah sajak yang saya tujukan khas kepada rakan-rakan baharu saya.
.
UNTUK KALIAN
(Kenangan di Majlis Taman Seni, Kem Kijang, 18-19.6.1982)
.
Untuk kalian
hanya selamat tinggal
dan maafkan.
.
Tidak pasti
bilakah kelak waktunya
akan seperti ini kita
semesra begini.
.
Harapan cuma
moga
dalam jarak hari dan diri
yang jauh nanti
antara kita
saling tidak melupakan.

.
Aktual,
September 1982.

.
Saya juga menyertai Majlis Taman Seni II yang diadakan di Danau Toban, Pasir Mas, pada 28 April hingga 1 Mei 1983. Saya hadir ke majlis ini bersama dengan adik kedua saya, Yusmi, dengan menaiki kereta api dari stesen Temangan dan turun di stesen Pasir Mas. Di Danau Toban, kami diberikan keluarga angkat dan bermalam di rumah keluarga itu sehingga perkampungan kami selesai.
.
Dalam majlis ini, saya bertemu dengan beberapa orang penyair daripada Kumpulan Penyair UKM. Antara yang saya ingat ialah Azmi Rahman. Pemuda ini memberi galakan kepada saya dengan menyatakan bahawa saya dapat pergi lebih jauh sekiranya saya terus berusaha. Dia juga mendeklamasikan sajak saya, “Aku Mencatat Tetapi Banyak Kurangnya” yang dimuatkan dalam antologi stensilan, Danau yang diterbitkan sempena perkampungan itu. Dengan galakan dan deklamasi itu, semangat saya semakin meluap-luap untuk terus berkarya dengan lebih bermutu.
.
Pada tahun 1983 juga, diadakan Malam Pembacaan Puisi Merdeka ke-26 di Taman Inderaputera, Kota Bharu. Sebuah antologi sajak stensilan diterbitkan sempena majlis itu, iaitu Merdeka. Sajak saya, “Kebebasan” turut dimuatkan dalam antologi tersebut. Ketika itu saya bekerja sebagai kuli membina Balai Bomba Machang di bandar lama Machang.
.
Ketika Majlis Taman Seni III diadakan di Sekolah Kebangsaan Kubang Golok, Bachok, pada 12-15 April 1984, saya berada di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Oleh itu, saya tidak sempat menyertai majlis tersebut, tetapi sebuah sajak saya, “Sajak”, untuk antologi sajak Irama yang diterbitkan sempena majlis itu.

.
2.
PERSATUAN PENULIS KELANTAN
.
Saya menyertai Persatuan Penulis Kelantan (PPK) ekoran aktiviti Rumpun Seni Melayu Kelantan. Tarikh menyertainya saya sudah lupa, tetapi saya memang memohon untuk menyertainya. Ramai rakan dalam RSMK menyertai PPK. Seingat saya, ketika itu PPK diterajui oleh Encik Muda Abd. Rahman, pegawai di Lembaga Penduduk dan Perancang Keluarga Negara bagi negeri Kelantan.
.
Banyak aktiviti dilaksanakan oleh PPK, hampir setiap bulan. Banyak pertemuan melibatkan proses penelitian karya. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah hadir berbicara tentang penulisannya dan membedah karya kami. Dengan menyertai PPK lebih ramai penulis terkenal di Kelantan dapat saya kenali. Kebanyakan mereka sangat saya kagumi, antaranya Lim Swee Tin (guru di sekolah saya ketika di tingkatan 6), Moechtar Awang, Sayuti Mukhtar dan Alimi Wan Mahmood (juruhebah di Radio Malaysia Kota Bharu: kini di Angkasapuri, Kuala Lumpur), Wan A. Rafar, Mustaffa Jusoh (Allahyarham), Abdulhadi Muhammad, Abdul Hadi Yusuff, Ramli Abd. Halim (Melipriapapa M.H.) , Kamil Muhammad, Ladin Nuawi, dan ramai lagi.
.
Beberapa buah antologi puisi secara stensilan diterbitkan. Saadong II diterbitkan pada tahun 1983, dan sajak saya, “Seperti Bandar Ini” turut dimuatkan. Dalam antologi Saadong III, dimuatkan dua buah sajak saya, “Silakan” dan “Antara Dosamu dan Salahku”.


.
3.
KELAB SASTERA DBP
.
Kelab Sastera DBP dikendalikan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan saya sertai semasa saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Pada peringkat awal, kelab itu diketuai oleh Encik Omar Mamat, pensyarah di Institut Bahasa. Isteri saya turut menyertai kelab ini.
.
Beberapa pertemuan yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka saya hadiri. Selain pertemuan untuk penubuhan, saya juga sempat menghadiri mesyuarat agungnya sebanyak dua kali. Aktiviti yang menarik ialah percakapan Abdullah Hussein tentang novelnya, Imam.
.
Pada tahun 1994, Kelab Sastera DBP menerbitkan antologi puisi, Cetera 94. Sajak saya yang telah disiarkan dalam Dewan Sastera, “Mengarah Waktu” dicetak semula dalam antologi ini.
.
Apabila saya menamatkan pengajian di Universiti Malaya, dan berkhidmat di Dungun, Terengganu, saya tidak berkesempatan menghadiri aktiviti yang diadakan di Kuala Lumpur.



.
4.
PERSATUAN SASTERAWAN TERENGGANU (PELITA)
.
Penglibatan saya dalam persatuan ini bermula dengan menyertai Pelita Sudut Dungun. Ketika itu Pelita Dungun dalam keadaan hidup segan mati tak mahu. Penulis terkenal di Dungun, Awang Abdullah, berusaha mengaktifkan persatuan itu dengan memilih ahli jawatankuasa baharu. Isteri saya, Sabariah Nor, memang sudah sekian lama menjadi ahli persatuan itu, sebelum saya bertemunya. Saya dipilih sebagai ahli jawatankuasa dalam proses menghidupkan persatuan itu.
.
Apabila Pelita Dungun dapat dipulihkan, dan dinamai Pelita Cawangan Dungun, saya dilantik sebagai Naib Pengerusi. Ayob Mamat, seorang wartawan, dilantik sebagai Pengerusi. Pada masa ini, Pelita Pusat diterajui oleh Dato’ Rashid Ngah sebagai Ketua I. Dengan menyertai persatuan ini, saya kerap menghadiri akvititi yang dilaksanakan oleh Pelita Pusat, dan tidak pernah tertinggal mesyuarat agung yang dijalankan.
.
Pada tahun 2007, saya dipilih menjadi ahli jawatankuasa Pelita Pusat dalam mesyuarat agung yang diadakan di Hotel Midtown Yin Tin, Kuala Terengganu. Ketika ini Ketua I Pelita disandang oleh Haji Shariff Putera. Dengan pelantikan itu, saya terpaksa lebih kerap menghadiri mesyuarat ahli jawatankuasa yang diadakan di Pejabat Pelita, Jalan Tok Lam. Kadang-kadang mesyuarat diadakan di Restoran Terapung, di hadapan Bukit Puteri. Setakat ini, semasa menjadi ahli jawatankuasa, tiga aktiviti besar telah dilaksanakan.
.
Sambutan Ulang Tahun ke-40 diadakan di Suria Merang Resort, Setiu pada 6 – 7 Julai 2007. Acara perasmian disempurnakan oleh Ketua II Gapena Persatuan Penulis Nasional (Gapena). Saya diamanahkan menjadi pengerusi dalam acara Bicara Tentang Pelita, yang diperkatakan oleh Ketua I, Haji Tuan Shariff Putera. Majlis ini mempertemukan saya dengan ramai rakan penulis dari Kelantan yang telah lama tidak dihubungi, antaranya Norhisham Mustafa, Leo A.W.S., Abdul Hadi Yusof, dan Melipriapapa MH.
.
Pada 5 – 7 Julai 2008, saya berkesempatan mengikuti rombongan jawatankuasa Pelita ke Surabaya, Indonesia. Tidak malu saya nyatakan bahawa inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang, dan kali pertama menjejakkan kaki di negara asing. Kami menaiki kapal terbang Air Asia tambang murah. Di Surabaya, kami menginap di Hotel Weta International. Saya menganggap diri saya bertuah kerana pertama kali menjadi ahli jawatankuasa, memperoleh peluang yang tidak pernah saya nikmati. Semua perbelanjaan tambang, penginapan, makan, dan duit poket, ditanggung oleh Pelita.
.
Satu lagi tanggungjawab jawatankuasa Pelita sesi 2007/2009 ini ialah penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Sastera Darul Iman (Asdi) V. Penyampaian anugerah ini sepatutnya diadakan pada tahun 2007 lagi, tetapi sering tertangguh kerana masalah kekangan masa. Akhirnya, majlis ini diadakan pada 21 Disember 2008 di Felda Residence, Kuala Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad bin Said hadir menyempurnakan acara.
***
Dengan berpersatuan, saya mendapati keupayaan dan kreativiti saya meningkat. Hal ini demikian kerana saya dapat berinteraksi dengan rakan-rakan penulis. Saya dapat bertanya cara mereka merekayasa sesuatu idea atau ilham yang diperoleh. Kadang-kadang, ketika kami berbincang tentang penulisan atau berborak-borak tentang sesuatu isu, idea datang dengan tidak disangka-sangka, yang dapat digunakan untuk mencipta karya lain atau untuk menguatkan karya yang sedang dalam pembikinan. Oleh itu, saya berpendapat bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya, kita harus berdamping dengan penulis yang berjaya.
.

26 Jun 2009

PANTUN: PUISI YANG RUMIT DICIPTA


PANTUN sangat unik. Hal ini demikian kerana pembinaan pantun perlu mematuhi beberapa formatnya. Rima akhir barisnya harus berselang: a-b-a-b., dan baris pertama dan kedua merupakan pembayang. Oleh itu, sekiranya terdapat pantun yang rima akhir barisnya sama, a-a-a-a, bentuk itu tidak dapat dianggap pantun. Rima sedemikian seolah-olah bentuk syair, tetapi tidak mematuhi format syair yang memerlukan setiap baris merupakan isi.
.
Dengan format sedemikian, pantun sukar dicipta. Saya hanya mencipta pantun apabila ingin digunakan untuk skrip tertentu atau diminta oleh pihak yang ingin menggunakannya. Apabila mencipta pantun, saya sangat mengambil kira tentang rima akhir barisnya agar mantap dan tepat. Misalnya, jika suku kata akhir perkataan terakhir dalam baris pertama ialah “du” pada perkataan “mengkudu”, maka suku kata akhir perkataan terakhir baris ketiga juga “du”, seperti pada perkataan “sepadu”. Saya tidak berpuas hati jika yang digunakan “lu”-“du” atau “su-mu” atau sebagainya. Walaupun begitu, sekiranya gagal menggunakan bunyi yang sama seratus peratus, terpaksalah saya berpuas hati dengan bunyi yang hampir sama. Suku kata akhir perkataan kedua atau kedua untuk baris pertama dan keempat juga seboleh-bolehnya saya usahakan supaya bunyinya sama, seperti “ku” pada perkataan “paku” digandingkan dengan “ku” juga pada perkataan “tuanku”. Namun, jika gagal berbuat demikian, barulah saya berpuas hati dengan “ku”-“su” atau “hu”-“gu”.

.
Pada bulan November 2007, saya menyertai Pertandingan Pantun yang bertemakan Penghayatan Rukun Negara anjuran Radio Klasik Nasional (RTM). Dua kumpulan pantun yang saya kirim melalui e-mel disiarkan dan terpilih ke peringkat penilaian akhir. Setiap kumpulan terdiri daripada dua rangkap pantun empat kerat. Akhirnya, saya antara lima orang pemenang yang dipanggil menerima hadiah di Angkasapuri. Namun, saya yang tidak dapat hadir mewakilkan adik saya yang tinggal di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Noraini, untuk menerimanya. Selain itu, saya tidak tahu pasangan pantun yang dipilih itu.

.
Penghayatan Rukun Negara (1)
.
Pucuk paku daun mengkudu,
Ulam kampung pembuka selera;
Paduka tuanku lambang sepadu,
Tempat berpayung warganegara.
.
Bertingkah gendang di pantai Melawi,
Tanda bermula musim menyemai;
Tegak undang-undang teguhlah pertiwi,
Peraturan dipersenda hanguslah damai.

.
Penghayatan Rukun Negara (2)
.
Ikan gelama penuh pedati,
Tarik pukat sepanjang petang;
Mematuhi agama sepenuh hati,
Jalan berkat luas terbentang.
.
Asam kandis asam gelugur,
Dijual budak di hujung kuala;
Tutur manis tatkala menegur,
Tingkah tidak meruntuh susila.

.
Saya pernah diminta agar mencipta beberapa rangkap pantun untuk digunakan dalam pengacaraan majlis persaraan Puan Hajah Faudziah Abd Latiff, Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan. Saya pun berusaha menyiapkannya, tetapi tidak digunakan kemudiannya.

.
I
.
Pengat pisang jamuan di pekan,
Makan berteman mari mulai;
Selamat datang tetamu diraikan,
Kesanggupan puan kami hargai.
.
Makan berteman mari mulai,
Makan bersama bagai sekeluarga;
Kesanggupan puan kami hargai,
Meluangkan masa sangat berharga.

.
II
.
Ikan kerisi si ikan bawal,
Masak pedas ikan gelama;
Puan permisi terlalu awal,
Belum puas kita bersama.
.
Bakar baulu menjelang petang,
Dibawa pulang anak menantu;
Gurauan lalu masih terngiang,
Takkan hilang dipacu waktu.
.
Pisau raut bertatah suasa,
Pecah mangkuk tergesel kuali;
Kalau diikut kehendak rasa,
Mahu dipujuk puan kembali.
.
Ayam berkokok berkali-kali,
Berkicau juga merbah jambul;
Meski dipujuk puan kembali,
Apatah daya takkan termakbul.

.
III
.
Buah kelapa kontang sebiji,
Waktu hujan menimpa papan;
Dengan sukacitanya dipersilakan Kak Ji,
Tampil ke depan menyampaikan ucapan.
.
Hendak membeli buah keranji,
Bawa bertih habis dimakan;
Demikian tadi rasa hati Kak Ji,
Terima kasih kami ucapkan.
.
Pohon bidara tanam di taman,
Tumbuh pula pohon rumbia;
Selamat bersara Kak Ji budiman,
Aman sejahtera sepanjang usia.
.
Orang muda menangkap kelah,
Kelah dibeli habis semua;
Sekiranya ada silap dan salah,
Harap kami dimaafi jua.
.
Buah nangka dilupa jangan,
Gulai kari dengan kelapa;
Sebagai tanda memanjangkan kenangan,
Terimalah cenderahati tidak seberapa.

.
Untuk majlis persaraan pengetua ke-20 SMK Sultan Omar, saya dikehendaki untuk menyediakan skrip bagi persembahan multimedia. Saya memasukkan tiga rangkap pantun pada awal persembahan dan dua rangkap pada akhir persembahan.

.
I
.
Kain batik ditenun cermat,
Sarat muatan bawa ke pasar;
Di Dungun terdidik di Dungun berkhidmat,
Anak tempatan berjati diri besar.
.
Sudah lazim pagi berkabut,
Cahaya bersemi keringkan tanah;
Penuh takrim tuan disambut,
Memimpin kami sempurnakan amanah.
.
Pohon kelapa hinggapnya camar,
Terbang mudik memburu ikan;
Ketua warga di Sultan Omar,
Cikgu Malik kita ceriterakan.

.
II
.
Terbang sekawan burung kenari,
Turun berempat di dahan berangan;
Budi tuan kukuh di sanubari,
Sejauh hayat jadi kenangan.
.
Tumbang punggur dahan pun sekah,
Terkejut burung sedang makan;
Tersalah tutur tersilap tingkah,
Ampun dan maaf kami dambakan.
.
Saya juga pernah mencipta pantun tentang keistimewaan negeri Terengganu.

.
Terengganu dan Tradisinya
.
Hari Sabtu sungguh meriah,
Riuhnya peniaga seawal pagi;
Negeri Terengganu bumi bertuah,
Kaya budaya bermutu tinggi.
.
Bawa ketupat ke Bukit Kor,
Inti kacang banyak bekalan;
Betapa lazat keropok lekor,
Nasi dagang tidak ketinggalan.
.
Tasik Permaisuri dihias cantik,
Jambangan bunga di atas titi;
Songket asli dan kain batik,
Tenunan sutera kekal diminati.
.
Dari Kemasik ke pekan Geliga,
Ikan bawal disiang cermat;
Halus berlarik seni tembaga,
Turut terkenal ukiran khat.
.
Langsat, sagu dan pelbagai bunga,
Pasar Paka tempat jualan;
Rodat dan lagu halwa telinga,
Segar mata menonton tarian.
.
Hantar umbut dengan kereta,
Pasar Payang habuan rezeki;
Congkak dan selambut pilihan wanita,
Gasing dan lelayang kesukaan lelaki.
.
Bot galah membawa timah,
Candat sotong di hujung tanjung;
Alamnya indah warga peramah,
Terpikat pelancong kembali berkunjung.
.

24 Jun 2009

ASAM GARAM HENDAK MENJADI PENULIS



PADA pendapat saya, untuk menjadi penulis, tidak mudah tetapi tidaklah sukar. Tidak mudah bermaksud banyak cabaran yang perlu ditempuhi, manakala tidak sukar bermaksud apabila kita mempunyai usaha yang gigih kita pasti akan berjaya dalam cita-cita kita itu.
.
Seperti yang telah saya catatkan sebelum ini, pada awalnya saya menulis karya pada kertas buku latihan sekolah dan diikuti pada kertas kajang dengan tulisan tangan. Satu tabiat saya ialah apabila terjadi kesilapan binaan frasa dan klausa, atau ada tambahan yang wajar saya masukkan serta-merta, saya akan menulis halaman itu semula. Oleh itu, untuk menyiapkan sesebuah karya, saya sering menulisnya berkali-kali. Saya tidak gemar memotong bahagian yang silap dengan garisan atau menggunakan cecair pemadam dengan banyaknya kerana hal itu akan menyebabkan karya itu tidak kemas. Bayangkanlah pada mulanya saya menulis karya pada kedua-dua halaman, apabila tersilap pada halaman belakangnya, saya terpaksa menulisnya semula pada kertas lain. Dalam keadaan berhati-hati, kesilapan masih sering berlaku. Kemudiannya, saya menulis pada satu halaman sahaja bagi setiap helai, yang membolehkan saya menjimatkan masa, tenaga, kertas, dan dakwat pena mata bulat.
.
Setelah saya memperoleh mesin taip “Brother” yang dihadiahi oleh emak saya, masalah yang sama masih terjadi. Ketika mengetuk huruf mesin taip, sering terjadi kesilapan huruf berulang, tertinggal huruf, atau susunan huruf menjadi terbalik akibat tersilap giliran mengetuk huruf. Untuk membetulkannya, saya terpaksa menggunakan cecair pemadam. Saya tidak boleh terus mengetuk huruf baharu pada bahagian yang salah kerana cecair pemadam yang mengambil sedikit masa untuk kering akan menyebabkan huruf itu tidak jelas atau tidak berbekas langsung. Oleh itu, saya terpaksa sabar, dengan menunggu bahagian yang dicalit dengan cecair itu kering terlebih dahulu. Untuk mempercepat keringnya, saya terpaksa meniupnya berulang kali. Kalau kesilapannya agak banyak, selalunya saya mengeluarkan kertas itu dan menaipnya semula pada kertas lain. Seringnya, ketika membuat pembetulan itu, terjadi pula kesilapan lain, atau kesilapan pada bahagian yang cuba dibetulkan.
.
Sebelum menaip karya, saya terlebih dahulu menulisnya pada kertas. Ketika menaipnya, saya kerap membuat pembetulan atau tambahan, bergantung kepada keperluan dan kemunculan idea baharu secara spontan. Saya menggunakan mesin taip pada waktu siang atau awal malam sahaja. Hal ini demikian kerana saya tidak mahu ketukan mesin taip yang kedengaran sangat lantang pada waktu malam akan mengganggu emak dan ayah saya yang mahu tidur. Oleh itu, saya akan membuat catatan atau menulis rangka karya pada waktu malam, seringnya sehingga tengah malam dengan dibantu oleh cahaya pelita minyak tanah. Oleh sebab di rumah saya tiada kerusi dan meja, saya duduk bersila seperti sedang membaca al-Quran dan meletakkan mesin taip di atas bantal supaya lebih tinggi. Acap kali juga jari saya sakit kerana terpelosok ke celahan butang huruf ketika rancak menaip. Walau bagaimanapun, saya dapat menaip dengan laju menggunakan sepuluh jari. Kemahiran ini saya miliki dalam masa tidak sampai setahun saya menggunakan mesin taip kerana saya membiasakan diri mengetuk huruf mengikut fungsi jari yang sebenar.
.
Mesin taip hadiah daripada emak saya itu saya gunakan dengan maksimum. Mesin taip itu rosak semasa saya hampir menamatkan kursus perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Mesin taip itu kemudiannya tidak dapat dibaiki lagi kerana sudah teruk. Amat terkilan saya untuk membuang mesin taip yang sangat berjasa kepada saya itu, tambahan pula pemberian emak. Saya membeli sebuah mesin taip lain ketika saya berkhidmat di Jengka 10, Pahang, tetapi tidak sehebat yang sebelumnya. Ketika saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, saya masih menggunakan mesin taip itu. Saya pernah menggunakan komputer jenama Apple milik sekolah tempat saya bertugas, tetapi mula menggunakan komputer sendiri pada tahun 1997. Saya membeli komputer Windows 95 di sebuah kedai komputer di Bangsar Baru yang memberikan tawaran harga murah. Dengan komputer itu saya menyiapkan sebuah novel pendek untuk menyempurnakan kerja kursus bagi kertas Penulisan Novel. Novel yang saya berikan judul “Jeriah” itu diberi markah A+ oleh S. Othman Kelantan.
.
Bayaran untuk karya yang disiarkan pada zaman dahulu tidak tinggi. Sebuah cerpen dalam Utusan Pelajar dan siaran radio RTM lazimnya dibayar $20.00 hingga $25.00 sahaja, manakala sajak lazimnya $10.00. Bayaran dibuat dengan cek. Pada mulanya saya mendepositkan cek itu ke dalam akaun Skim Simpanan Pejabat Pos. Untuk mendapatkan wang tunai, saya terpaksa menunggu dua atau tiga minggu. Kemudiannya, kerani Pejabat Pos Temangan, Mohd Yusof Daud, yang saya panggil Pak Soh sahaja, terus membayar wang tunai kepada saya. Hal ini memudahkan saya mendapatkan wang tunai untuk perbelanjaan membeli kertas taip, reben mesin taip, cecair pemadam, sampul surat, dan setem.
.
Semasa di bangku persekolahan, saya tidak aktif mengikuti aktiviti penulisan yang dianjurkan oleh persatuan penulis, khususnya di Kelantan. Selepas menamatkan pelajaran tingkatan enam, sambil menunggu keputusan peperiksaan dan menanti lamaran pekerjaan diterima, saya mengambil kesempatan mengikuti bengkel dan perjumpaan anjuran persatuan penulis. Pada mulanya saya menyertai Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK), dan kemudiannya Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Ketika saya aktif dalam PPK, ketuanya ialah Encik Muda bin Abdul Rahman, pegawai Lembaga Perancang Keluarga Kelantan. Kami selalu berbengkel di bangunan jabatan itu di Kota Bharu pada hujung minggu. Untuk menyertai bengkel atau perjumpaan karya ini, cabaran besar terpaksa saya hadapi. Saya akan menunggang basikal ke pekan Temangan, dan menaiki teksi (bukan beca) ke bandar Machang. Dari bandar Machang saya sering menaiki bas cepat Kuala Krai-Kota Bharu atau Machang-Kota Bharu. Waktu pergi tidak menimbulkan banyak masalah. Namun, ketika pulang, kadang-kadang majlis habis lewat petang sekiranya program dibuat mulai tengah hari atau awal petang. Sekiranya tidak sempat menaiki bas cepat ke Machang di Stesen Bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Kota Bharu, saya terpaksa menaiki teksi. Tambang teksi sekali ganda lebih mahal daripada tambang bas cepat. Lazimnya, apabila sampai di Machang ketika hampir Maghrib, perkhidmatan teksi atau kereta sapu ke Temangan telah berakhir. Saya harus pulang ke rumah pada malam itu juga. Ada drebar teksi yang sanggup menghantar saya ke pekan Temangan, tetapi dengan bayaran sebuah teksi pergi dan balik. Sudah tentu saya menolaknya kerana saya tidak mampu membayarnya. Oleh itu, saya merayau di kedai makan yang terletak tidak jauh dari stesen teksi dan bas Machang, mencari teksi yang pemandunya tinggal di Temangan tetapi masih belum pulang. Dalam hal begini, saya selalu bernasib baik. Saya dapat pulang ke pekan Temangan dengan selamat walaupun agak lewat. Kadang-kadang saya untung kerana ada drebar teksi yang mengenali saya enggan mengambil tambang dengan alasan kebetulan dia juga ingin pulang. Dari pekan Temangan, saya akan berbasikal meredah gelap malam melalui pinggir bukit dan sungai yang sunyi, ditambah dengan jalan tanah yang lekak-lekuk di sana dan di sini. Sering juga saya tidak menunggang basikal ke Temangan. Ketika pulang, Abang Ariffin, kawan bapa saudara saya, yang membuka kedai makan di pekan itu menghantar saya ke rumah. Kadang-kadang, rakan sesekolah saya semasa di sekolah rendah, Wan Zakaria bin Wan Deraman (lebih dikenali sebagai Mad Di) dan Ahmad Kamal bin Salleh (lebih dikenali sebagai Halim) tidak lokek untuk menghantar saya pulang. Yang menyenangkan hati saya, emak dan ayah saya tidak pernah memarahi saya kerana terlambat begitu. Mereka memahami saya dan percaya bahawa saya tidak menyeleweng daripada kegiatan penulisan saya ke mana-mana sahaja saya pergi.
-
Satu hal yang sangat ingin saya laksanakan pada masa saya aktif berkarya adalah untuk menerbitkan antologi cerpen persendirian. Oleh itu, apabila ada pihak yang menawarkan diri untuk menyerahkan cerpen kanak-kanak saya kepada penerbitan, saya menerimanya dengan senang hati. 24 buah cerpen kanak-kanak saya kirimkan kepada seorang penulis yang berasal dari Selangor dan mendapat pendidikan keguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Penulis itu menggunakan alamat di Selangor. Sebuah daripada cerpen itu tersiar dalam Utusan Pelajar dengan menggunakan namanya. Hal ini telah saya coretkan dalam catatan lalu, “Antologi: Belum Ada Antologi Perseorangan”. Hal ini juga saya coretkan dalam artikel pendek “24 Karya Lesap” (Utusan Zaman, ..... 1991).
-
Cabaran yang besar kepada penulis, lebih-lebih lagi saya, yang harus difahami ialah bahawa tidak semua karya yang kita fikir baik akan diterima oleh orang lain, khususnya editor ruangan sastera atau editor penerbitan. Telah saya catatkan dalam coretan “Novel: Genre Yang Gagal” bahawa manuskrip novel kanak-kanak saya, Siapakah Pencurinya lenyap begitu sahaja. Demikian juga manuskrip drama televisyen, yang sudah saya lupa judulnya, terperap dan berkubur di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Dalam coretan “Antologi: Belum Ada Antologi Perseorangan”, turut saya catatkan bahawa manuskrip kumpulan puisi yang saya judulkan sebagai Mengarah Waktu yang disemak oleh Dharmawijaya dan telah diperakukannya, hilang tanpa berita di Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak lagi cerpen dan puisi saya yang tidak diterima. Saya tidak pernah menghubungi semua pihak itu lagi. Hal ini sesuai dengan prinsip saya yang tidak suka merayu editor atau penyelenggara agar menyiarkan karya saya. Saya memang tidak pernah berbuat begitu, malahan saya tidak pernah menulis surat atau menelefon editor bertanya tentang karya yang saya kirimkan sudah sampai atau belum.
-
Itulah antara asam garam yang saya lalui untuk menjadi penulis dan untuk meneruskan kelangsungan sebagai penulis kecil. Saya mengakui bahawa asam garam itu terlalu sedikit berbanding dengan asam garam yang ditempuhi penulis lain yang sudah berjaya!

.

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...