KEMAS KINI

SILAKAN BERKUNJUNG. DIKEMASKINIKAN PADA 21 September 2023 - 6:31 petang

28 Julai 2011

MALANGNYA, MALANGNYA!

UMUM kalangan penulis dan peminat buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengetahui bahawa penerbit swasta, Dawama, yang diberi tugas menerbitkan dan memasarkan buku dan majalah kelolaan DBP semenjak 2002 tidak mampu memasarkan banyak buku terbitannya. Sebagai akibatnya, buku yang dicari sukar didapati, tetapi dikatakan berlapuk di stor kerana tidak dipasarkan. Hal ini disebut banyak kali dalam pelbagai pertemuan. Namun demikian, masalah itu terus berlanjutan menjadi masalah yang menjelikkan.

Yang terbaharu, Salbiah Ani melalui tulisannya, "Jangan Biarkan DBP Terus Tenat!" dalam ruangan "Godam" (Berita Harian, 28 Julai 2011), menjelaskan senario tentang kegagalan Dawama memasarkan majalah DBP pula. Kegagalan itu dikatakan berpunca daripada ketiadaan stok kertas.


Mengapakah hal itu dapat terjadi? Hairan bin ajaib sungguh! Dawama yang telah memperoleh keuntungan besar, gagal untuk menyediakan bekalan kertas untuk terbitan dan cetakannya sendiri?


Hal ini mengingatkan saya tentang kelewatan saya menerima tiga buah majalah DBP bagi bulan Jun lepas. Majalah-majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa, dan Pelita Bahasa saya langgan melalui pos secara tahunan. Hingga pertengahan Jun saya belum menerima majalah-majalah itu. Selalunya, saya akan menerima majalah berkenaan seminggu lebih awal. Jika untuk terbitan bulan Mei, saya menerimanya pada minggu akhir bulan April, atau selewat-lewatnya minggu pertama bulan Mei.


Pada mulanya saya beranggapan bahawa kemungkinan besar kiriman tersebut tidak sampai kerana tersalah hantar oleh pihak Pos Malayisa, atau pihak Dawama sendiri yang tercicir nama saya ketika proses pengirimannya. Pada pertengahan Jun lalu, saya pun menghantar aduan melalui e-mel Dawama. Pada minggu pertama bulan Julai barulah majalah terbitan bulan Jun tersebut sampai ke tangan saya. Sekarang, sudah masuk akhir bulan Julai, saya belum lagi menerima naskhah bulan Julai itu. Saya menyangkakan hal yang sama berlaku.


Mungkinkah naskhah Julai tidak dicetak?


Penswastaan bahagian percetakan dan penerbitan DBP yang sepatutnya mengurangkan beban DBP, sebaliknya telah menjadi beban yang terpaksa digalas pula oleh DBP sendiri. Kalau Dawama sudah tidak mampu menjalankan peranan yang diberikan, serahkan sahaja urusan ini kepada DBP semula. Banyak lagi syarikat swasta lain, khususnya milik bumiputera, yang mampu melaksanakannya, tetapi tersisih semenjak Dawama mendapat kontrak.


Malangnya DBP. Malangnya industri buku dan majalah bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi kerana menghadapi kemelut ini. Malang juga bagi pembaca buku dan majalah DBP, termasuk saya!

Tiada ulasan:

GURINDAM: INDAH JIKA DILAGUKAN

MENULIS gurindam juga sangat menarik. Yang paling mudah ialah gurindam dua baris. Puisi jenis ini sarat dengan falsafah, dan tujuannya untu...